Bekas peneroka Felda Sungai Buaya syukur penantian 31 tahun berakhir

Bekas peneroka Felda Sungai Buaya syukur penantian 31 tahun berakhir

lokman.hmetro.com.my

Hulu Selangor: “Saya rasa seperti mimpi jadi kenyataan. Selama 31 tahun kami menunggu wang pampasan RM1 juta diberikan, akhirnya hari ini ianya jadi kenyataan,” kata Jamadi Mohamad.

Jamadi, 80, adalah seorang daripada 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya di sini yang terbabit kemelut sejak 1994 apabila menandatangani Perjanjian Jual-Beli tanah ladang seluas 1,255 hektar dengan syarikat pengurusan tadbir tanah, Murna Jaya Development Berhad (MJD) bagi pembangunan projek Bandar Sungai Buaya.

Bagaimanapun, akibat kemelesetan ekonomi pada 1998, syarikat pemaju tidak berkeupayaan meneruskan projek dan digulungkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2008.

Nasib bekas peneroka terbela selepas MJD melaksanakan beberapa siri penyerahan dokumen hak milik serta pampasan ganti rugi sebelum ini.

Menurut Jamadi, dia bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor dan MJD yang menjayakan pembayaran pampasan itu.

“Terima kasih juga tidak terhingga kepada Menteri Besar dan mantan-mantan wakil rakyat yang bersama-sama membawa suara kami sehingga baki pampasan berjaya diselesaikan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bayaran Peringkat Akhir kepada bekas peneroka yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.

Menceritakan penantian 30 tahun yang penuh dugaan, bapa 14 anak itu berkata, bekas peneroka amat tersentak apabila seluas 419.57 hektar dirampas akibat cukai tertunggak pada 2009 lalu.

“Ketika itu kerajaan negeri sudah rampas tanah kerana tidak bayar cukai.

“Akibat kegawatan ekonomi pada 1998, syarikat pemaju pun gulung tikar. Syarikat pemaju pulangkan tanah yang belum dibangunkan kepada MJD. Yang menanggung risikonya kami (peneroka).

“Dengan izin Allah dan kehendaknya, isu ini dapat diselesaikan. Itu saya kata macam mimpi,” katanya yang menerima wang pampasan keseluruhan RM1 juta.

Seorang waris peneroka, Mustaf Talib, 75, yang juga anak peneroka generasi pertama dan bekas ketua kampung turut berkongsi kegembiraannya.

“Walaupun segelintir sahaja peneroka asal yang masih hidup, tapi waris seperti saya yang sudah tua mendapat faedah daripada pembayaran pampasan yang tertunggak ini,” katanya.

Dia yang menerima RM240,000 berkata, dia berhasrat membahagikan wang pampasan itu sama rata kepada lapan orang adik-beradiknya.

“Secara keseluruhan, ada peneroka yang menerima lebih RM1 juta.

“Cabaran macam-macam. Antaranya, ada peneroka dan anak peneroka yang membawa kes ke mahkamah, ada yang kaveat.

“Cabaran paling hebat apabila 419. 57 hektar tanah itu diambil oleh Kerajaan Selangor kerana tak dibayar cukai. Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor yang dapat memulangkan semula tanah tersebut dengan syarat-syarat tertentu yang diusahakan oleh Ahli Lembaga Pengarah MJD yang baharu,” katanya.

sementara itu, K Balakrishnan, 84, yang menetap di Felda Sungai Buaya sejak 1972, berhasrat memanfaatkan RM750,000 diterima untuk keluarga.

“Kami sangat bahagia. Dengan adanya pampasan ini, kami boleh menggunakannya untuk anak-anak dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, kemelut pampasan tanah membabitkan 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya di sini, selesai hari ini apabila MJD Berhad melangsaikan baki bayaran tertunggak bernilai RM74.2 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MJD, Amirul Fahmi Ahmad berkata, secara keseluruhannya, sejumlah RM375 juta pampasan dibayar kepada 363 peneroka bermula 1994 hingga peringkat akhir, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top