am@hmetro.com.my
Melaka: Bekas pengarah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman tujuh hari hingga 23 Jun untuk siasatan atas dakwaan menggunakan dana agensi berjumlah RM50 juta untuk membuat pelaburan saham.
Perintah reman terhadap suspek berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, selepas menerima permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Media melaporkan lelaki itu ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka, disyaki menyalahgunakan kuasanya dengan menggunakan dana PBT itu berjumlah RM50 juta untuk membuat pelaburan saham.
Sumber berkata, suspek disyaki melakukan perbuatan itu dari 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan berkenaan dengan dana digunakan adalah wang awam dan wang amanah tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd