Bekas Pengarah Patimas kekal bayar RM1.24 juta kepada SC

Bekas Pengarah Patimas kekal bayar RM1.24 juta kepada SC

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan kebenaran merayu yang difailkan bekas Pengarah Eksekutif Patimas Computers Bhd., Datuk Ng Back Heang.

Ia selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak memenuhi ambang keperluan yang ditetapkan (threshold requirement).

Permohonan itu difailkan Back Heang bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya beliau membayar RM1.24 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) selepas didapati bertanggungjawab atas kesalahan terlibat dalam dagangan orang dalam.

Pada 2 September 2025, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Back Heang membayar ganti rugi yang bersamaan dengan tiga kali kerugian yang boleh dielakkan kepada agensi itu.

“Persoalan-persoalan yang dikemukakan dalam permohonan ini telah dijawab oleh mahkamah ini dalam kes yang diputuskan baru-baru ini.

“Oleh itu, kami mendapati syarat asas di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak dipenuhi. Maka, permohonan ini ditolak dengan kos,” kata Hakim Vazeer itu yang bersidang bersama-sama Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Mahkamah turut memerintahkan Back Heang selaku pemohon untuk membayar kos sebanyak RM50,000.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Jasbeer Singh bertindak bagi pihak pemohon, manakala SC diwakili peguam Dhinesh Bhaskaran bersama Timbalan Pendakwa Raya SC, Mohd. Hafiz Mohd. Yusoff.

Pada 17 November 2022, Mahkamah Tinggi berkenaan mendapati Back Heang bertanggungjawab atas dagangan orang dalam di bawah Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Pelanggaran itu berlaku apabila lelaki itu menjual 16.5 juta sahamnya di Patimas antara Mei hingga Julai 2012 ketika memiliki maklumat material bukan awam berkaitan pertanyaan audit serta transaksi mencurigakan antara syarikat itu dan penghutang utamanya.

Ketika di peringkat Mahkamah Rayuan, panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Nadzarin Wok Nordin turut mengenakan penalti sivil sebanyak RM700,000 dan melarang Back Heang daripada dilantik sebagai pengarah mana-mana syarikat awam tersenarai selama lima tahun bermula 17 November 2022.

Beliau juga diarahkan membayar kos RM30,000 kepada SC sementara Mahkamah Tinggi sebelum ini memberikan SC kos tambahan sebanyak RM100,000. – UTUSAN

Scroll to Top