Bekas pengurus besar AKSB sujud syukur, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah

Bekas pengurus besar AKSB sujud syukur, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bekas pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, melepaskan dan membebaskan dirinya terhadap pertuduhan menerima rasuah RM10,000 daripada seorang subkontraktor pada 2015.

Hakim Mahkamah Sesyen Dazuki Ali membuat keputusan itu pada akhir kes pembelaan kepada Wan Mohd Zamri Wan Ismail, 64.

Dalam keputusannya, Dazuki berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Katanya, pembelaan berjaya menyangkal andaian mengikut Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas imbangan kebarangkalian.

“Tertuduh memberikan penjelasan yang tidak bersalah dan berjaya melepaskan beban pembuktian yang dikenakan ke atasnya.

“Mahkamah menerima penjelasan jujur tertuduh bahawa RM10,000 yang diterimanya bertujuan sebagai bantuan untuk mangsa banjir besar yang berlaku pada akhir Disember 2014 dan bukan cerita rekaan,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar manakala Wan Mohd Zamri diwakili peguam bela Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri serta Nur Sarah Syamimi Shafie.

Mahkamah juga memerintahkan ikat jamin RM7,000 yang dibayar oleh Wan Mohd Zamri dikembalikan.

Pada 2022, Wan Mohd Zamri didakwa di Mahkamah Sesyen atas kesalahan menerima rasuah RM10,000 daripada seorang subkontraktor pada 2015 dan dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Zamri didakwa menerima rasuah pada 22 Januari 2015, berhampiran Maybank, Jalan Mahmood, di Kota Baru, daripada Ng Tse Wei, melalui cek United Oversea Bank (M) Bhd bertarikh 21 Januari 2015, yang dikreditkan ke akaun Maybank Islamic miliknya.

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu Zog Technology dilantik sebagai subkontraktor bagi mereka bentuk, membina, menyediakan, menjalankan ujian serta kerja-kerja berkaitan lain untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej 1, di Machang, Kelantan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top