Bekas pimpinan PKR Johor tubuh jawatankuasa sementara Bersama, sasar tanding 56 DUN

Bekas pimpinan PKR Johor tubuh jawatankuasa sementara Bersama, sasar tanding 56 DUN

JOHOR BAHRU – Johor mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama menubuhkan jawatankuasa sementara Parti Bersama Malaysia (Bersama) susulan penyertaan bekas pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abdul Hamid Ali berkata, penubuhan jawatankuasa sementara itu dibuat selepas mereka mengambil keputusan meninggalkan PKR kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan serta proses pemilihan parti sebelum ini.

Jelas bekas Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor itu, kewujudan penubuhan jawatankuasa tersebut sekali gus menandakan permulaan gerakan rasmi Bersama di Johor sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan pilihan raya negeri akan datang.

“Setakat ini, hampir 2,800 anggota menyertai kami dan angka itu akan terus bertambah dari semasa ke semasa melalui pendaftaran secara dalam talian.

“Daripada jumlah itu hanya 29 peratus merupakan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala selebihnya terdiri daripada golongan muda dan individu tidak berparti.

“Fokus awal kita memang kepada golongan muda bawah 40 tahun dan setakat ini 49 peratus ahli yang mendaftar adalah individu tidak berparti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bandar Baru Uda di sini pada Sabtu.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram yang juga Naib Pengerusi MPN Johor, S Gopalakrishnaan berkata, Bersama Johor menyasarkan untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita sedang kenal pasti kerusi yang sesuai untuk ditandingi, namun hasrat kita memang mahu memberi fokus kepada semua 56 DUN di Johor.

“Pemilihan calon bagaimanapun akan diputuskan oleh kepimpinan pusat termasuk kemungkinan membawa masuk nama besar politik ke negeri ini,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar PKR dan mengambil alih Bersama yang ditubuhkan pada 2016.

Simbolik penyerahan parti itu dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik dua pemimpin terbabit, sekali gus menjawab persoalan sejak beberapa minggu lalu berkaitan hala tuju politik mereka berdua selepas dilihat agak disisihkan PKR sejak setahun lalu.

Pada Isnin lalu lalu, Rafizi dan Nik Nazmi menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, untuk memaklumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Setiawangsa.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu selepas ia diisytiharkan kosong.

 

Scroll to Top