Bekas PM Jepun meninggal dunia pada usia 101

Bekas PM Jepun meninggal dunia pada usia 101

Tokyo: Bekas Perdana Menteri daripada Parti Sosialis Jepun, Tomiichi Murayama, yang pernah mengetuai kerajaan campuran dengan pesaing lamanya, Parti Liberal Demokratik (LDP) pada pertengahan 1990-an meninggal dunia pada pagi Jumaat di Bandar Oita.

Memetik laporan The Japan Times, beliau yang terkenal dengan kenyataannya memohon maaf atas pencerobohan Jepun semasa Perang Dunia Kedua meninggal pada usia 101 tahun.

Dilahirkan pada 3 Mac 1924 di Wilayah Oita, Murayama berpindah ke Tokyo pada 1938 tetapi kemudiannya dikerah menyertai angkatan tentera dan ditempatkan di Kumamoto pada akhir Perang Dunia Kedua.

Murayama memenangi pilihan raya Dewan Rendah pertamanya pada 1972, dan pada 1993, beliau menjadi pengerusi Parti Sosialis Jepun.

“Murayama memikul tanggungjawab berat berkhidmat sebagai perdana menteri, mendedikasikan dirinya untuk menangani pelbagai cabaran. Beliau memperjuangkan ‘politik berpusatkan rakyat’,” kata Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ishiba turut mengiktiraf kepimpinan Murayama dalam menangani gempa bumi besar Hanshin dan serangan gas sarin di Tokyo oleh kumpulan kultus Aum Shinrikyo, serta usahanya untuk menyelesaikan isu penyakit Minamata.

Pada 29 Jun 1994, Murayama menjadi perdana menteri Jepun ke-81, mengetuai kerajaan campuran yang turut merangkumi LDP dan sebuah parti kecil bernama Sakigake.

Di bawah Murayama, gabungan itu bersetuju untuk mengekalkan Perjanjian Keselamatan Jepun-Amerika Syarikat, mengiktiraf perlembagaan Pasukan Pertahanan Diri (SDF) dan menerima penggunaan bendera Hinomaru serta lagu kebangsaan “Kimigayo”, yang kesemuanya sudah lama ditentang oleh Parti Sosialis.

Murayama berkata, peranan Kabinet pimpinannya adalah untuk menamatkan era pascaperang sempena ulang tahun ke-50 berakhirnya Perang Dunia Kedua yang membawa kepada pengeluaran kenyataan Murayama pada 15 Ogos 1995 – legasi paling dikenali dalam kariernya.

Kenyataan itu menegaskan bahawa “Jepun akibat dasar negara yang silap melalui pemerintahan penjajah dan pencerobohannya, menyebabkan kemusnahan dan penderitaan besar kepada rakyat di banyak negara khususnya di Asia.”

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan ramai dalam kalangan golongan konservatif dan penyokong sayap kanan Jepun terutamanya dalam LDP. Namun, sejak itu, tiada perdana menteri yang menolak kenyataan berkenaan dan Ishiba mengesahkan Kabinet pimpinannya turut mendukungnya.

Sepanjang tempoh Murayama sebagai perdana menteri, kerajaannya berdepan dengan gempa bumi besar Hanshin pada Januari 1995 yang memusnahkan Kobe dan membunuh lebih 6,400 orang.

Tindak balas kerajaannya terhadap gempa itu dikritik sebagai perlahan, namun akhirnya ia membawa kepada pindahan undang-undang yang membenarkan SDF bertindak balas terhadap bencana pada masa hadapan termasuk ketika gempa bumi besar Jepun Timur pada 2011.

Selain gempa bumi, Murayama juga berdepan dengan serangan gas sarin Mac 1995 yang dilakukan oleh kultus hari kiamat, Aum Shinrikyo.

Tempoh perkhidmatannya berakhir apabila beliau digantikan oleh Perdana Menteri, Ryutaro Hashimoto dari LDP pada 1996 dan beliau bersara daripada politik pada 2000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top