KATHMANDU – Bekas Perdana Menteri Nepal yang digulingkan, KP Sharma Oli dan bekas Menteri Dalam Negeri, Ramesh Lekhak ditahan pada Sabtu atas dakwaan kecuaian berhubung kematian penunjuk perasaan “Gen Z” pada September tahun lepas, lapor Anadolu Ajansi.
“Janji tetap janji. Tiada sesiapa yang di atas undang-undang,” Menteri Dalam Negeri semasa Sudan Gurung menulis di platform media sosial Facebook. Bekas Perdana Menteri, KP Sharma Oli dan bekas Menteri Dalam Negeri, Ramesh Lekhak telah ditahan.”
Gurung, yang sebelum ini terlibat dalam protes besar-besaran itu, menegaskan bahawa penahanan itu bukan bermotifkan dendam.
“Ini hanyalah permulaan kepada keadilan. Saya berharap negara akan menuju ke arah baharu,” katanya.
Oli merupakan ketua bagi parti komunis Unified Marxist Leninist (UML), manakala Lekhak ialah pemimpin kanan Nepali Congress (NC).
Puluhan anggota polis dikerahkan ke kediaman Oli di Bhaktapur sejak mesyuarat Kabinet pertama pada Jumaat, yang memutuskan untuk melaksanakan laporan Suruhanjaya Kehakiman bagi menyiasat protes Gen Z tahun lepas.
Suruhanjaya yang diketuai pesara pengerusi mahkamah khas, Gauri Bahadur Karki, mengesyorkan siasatan terhadap Oli, Lekhak dan Ketua Polis Chandra Kuber Khapung atas kecuaian jenayah yang membawa kepada kematian penunjuk perasaan.
Dalam pada itu, sekumpulan besar penyokong UML dilaporkan bertempur dengan pihak polis di luar kediaman itu sebelum polis berjaya menyuraikan penunjuk perasaan di pintu pagar utama dan menahan bekas Perdana Menteri berkenaan.
Mesyuarat Kabinet turut memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa kajian bagi pegawai keselamatan yang dituduh terlibat dalam insiden tembakan selepas pelantikan Balendra Shah sebagai Perdana Menteri baharu.
Bagaimanapun, pemimpin UML dan NC menyifatkan laporan itu sebagai tidak lengkap dan berat sebelah.
Setiausaha UML, Mahesh Basnet mendakwa tindakan itu sebagai satu prejudis dan dendam terhadap mereka sambil menggesa pemimpin parti untuk menyertai protes jalanan.
“Mesyuarat tergempar akan menentukan langkah kami yang seterusnya,” kata Basnet.
Sekurang-kurangnya 25 penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan belia terbunuh manakala 700 lagi cedera pada September tahun lepas apabila protes meluas tercetus berikutan pengharaman syarikat media sosial, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan Sharma Oli. – Bernama
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri Nepal KP Sharma Oli dan bekas Menteri Dalam Negeri Ramesh Lekhak ditahan atas kecuaian kematian penunjuk perasaan tahun lepas.
- Menteri Dalam Negeri Sudan Gurung menegaskan penahanan bukan bermotif dendam tetapi permulaan keadilan.
- Puluhan polis dikerahkan ke kediaman Oli di Bhaktapur setelah keputusan melaksanakan laporan Suruhanjaya Kehakiman.
- Pemimpin UML dan NC mendakwa laporan suruhanjaya tidak lengkap dan berat sebelah.
- Protes besar-besaran menyusul dengan sekurang-kurangnya 25 penunjuk perasaan terbunuh dan 700 cedera tahun lepas.



