Bekas PM Nepal ditahan terlibat kematian penunjuk perasaan

Bekas PM Nepal ditahan terlibat kematian penunjuk perasaan

KATHMANDU: Bekas Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli, dan bekas Menteri Dalam Negeri, Ramesh Lekhak, ditangkap semalam kerana disyaki terlibat dalam tindakan keras yang mengorbankan nyawa penunjuk perasaan pada September tahun lalu.

Jurucakap polis Lembah Kathmandu, Om Adhikari berkata, kedua-dua individu itu ditangkap pada pagi Sabtu dan pihak berkuasa meneruskan proses seterusnya mengikut undang-undang.

Penahanan itu berlaku sehari selepas Perdana Menteri baharu, Balendra Shah dan Kabinetnya mengangkat sumpah selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya pertama sejak protes rakyat yang menggulingkan kerajaan Oli.

Sekurang-kurangnya 77 orang terbunuh dalam pemberontakan belia antirasuah pada 8 dan 9 September, yang awalnya tercetus oleh larangan media sosial sebelum berlanjutan kepada isu ekonomi.

Sekurang-kurangnya 19 belia terbunuh dalam tindakan keras pada hari pertama protes.

Keganasan itu merebak ke seluruh negara pada hari berikutnya apabila Parlimen dan pejabat kerajaan dibakar, yang akhirnya mengakibatkan kejatuhan kerajaan.

Laporan yang disokong kerajaan Nepal mengenai pemberontakan berdara itu mencadangkan pendakwaan terhadap Oli, 74, dan beberapa pegawai lain.

Ia turut menyatakan tiada bukti yang menunjukkan wujud arahan untuk menembak, namun menegaskan tiada usaha dilakukan bagi menghentikan atau mengawal tembakan, sehingga mengakibatkan kanak-kanak terkorban.

“Tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Ini bukan dendam terhadap sesiapa sebaliknya permulaan kepada keadilan.

“Saya percaya, kini negara akan menempuh hala tujuh yang baharu,” kata Menteri Dalam Negeri baharu, Sudan Gurung, yang juga tokoh penting dalam protes tersebut, menerusi hantaran di Instagram.- AFP

 

Scroll to Top