am@hmetro.com.my
Georgetown: Bekas anggota polis zaman darurat, Ang Kim Choo yang menyambut hari lahir ke-103 tahun semalam, menyifatkan tiada nikmat lebih berharga selain dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Nenek kepada 12 cucu itu berkata, detik paling membanggakan dalam hidupnya ialah apabila direkrut sebagai Konstabel Khas (SC) pada 1 April 1954 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1 Jun 1960.
“Saya kerja polis tidak lama. Namun, itu masa paling saya rasa bermakna dalam hidup,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan hari lahirnya oleh Pengerusi Kelab Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Johnny Ch’ng, di sini, malam tadi.
Menurut Kim Choo yang juga ibu tunggal, satu daripada tugas yang dilakukannya ialah memantau pelajar nakal yang terjebak anasir gengterisme dan selalu bergaduh sesama sendiri di sekolah.
“Pernah mereka lari menyorok dalam hutan. Kami ‘tangkap’ bawa mereka balik ke sekolah,” katanya.
Menurutnya, selain melakukan tugasan rutin meronda kawasan kejiranan dan penduduk setempat, ibu kepada lima anak itu berkata, ada masanya dia dan rakan sepasukan ditugaskan memeriksa kawasan hutan berbukit yang dikhuatiri terdedah kepada ancaman komunis.
Kim Choo mengakui dalam meniti usia emas, dia kini tidak dapat mendengar dengan baik namun tetap bersyukur kerana mampu melihat dengan agak jelas tanpa perlu memakai cermin mata.
“Saya cuma ada penyakit darah tinggi. Semua masakan Melayu, Cina India saya suka makan, saya paling suka kuih, pencuci mulut manis, itu susah nak tolak.
“Kita untung tinggal di Malaysia, macam-macam boleh makan. Boleh buat kerja sebab negara aman,” katanya yang masih mampu berjalan menggunakan tongkat.
Sementara itu anak sulungnya, Yeoh Saw Gaik, 83, berkongsi, ibunya seorang yang ceria dan bersemangat walaupun ingatannya terhadap kenangan silam semakin merosot dan beliau juga seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak.
“Mak kami dulu pencari nafkah tunggal dalam keluarga kadang-kadang garang juga, kalau kerja memang disiplin. Masa mak kerja, saya masak jaga adik-adik.
“Lepas habis belajar saya dapat kerja kerajaan di Jabatan Audit, adik saya dua orang jadi jururawat, seorang di sektor swasta dan seorang lagi peguam,” katanya.
Sementara itu, Johnny yang juga Pegawai Penyelaras Pasukan Simpanan Sukarelawan Polis Diraja malaysia (SSPDRM), berharap kegigihan dan sikap tidak mudah mengalah warga emas itu wajar dicontohi generasi muda terutama untuk menyumbang kepada negara.
“Keberanian beliau wajar dijadikan contoh teladan khususnya kepada masyarakat Cina untuk menyertai pasukan keselamatan dan berkhidmat untuk negara.
“Ia bukan satu tugas mudah apatah lagi bagi seorang wanita pada waktu itu kerana itu penting mempunyai jiwa patriotik dan rela berjuang demi tanah air tercinta ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




