
MANILA: Bekas presiden Filipina, Benigno “Noynoy” Aquino meninggal dunia hari ini pada usia 61 tahun, kata menteri luar dan beberapa pegawai negara itu.
Aquino yang memimpin negara itu dari 2010 hingga 2016, ialah satu-satunya anak lelaki kepada mendiang bekas presiden, Corazon Aquino dan suaminya, senator Benigno “Ninoy” Aquino.
Media tempatan melaporkan Aquino dikejarkan ke Pusat Perubatan Capitol di Manila pada awal pagi tadi.
Keluarganya dijangka mengeluarkan kenyataan kemudian.
Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin menerusi Twitter menyifatkan Aquino “berani ketika berdepan serangan bersenjata, cedera dalam tembak-menembak, mudah menyesuaikan diri kepada kuasa dan perangkapnya, serta memerintah negara kita dengan kedinginan membingungkan, tetapi kerana beliau menyembunyikan perasaannya dengan baik sehingga dianggap tidak mempunyai perasaan”.
Hakim Mahkamah Agung, Marvic Leonen, yang merupakan bekas penasihat keamanan Aquino, menyuarakan kesedihan terhadap pemergian bekas pemimpin itu.
“Saya mengenalinya sebagai orang yang baik hati, didorong semangatnya untuk berkhidmat kepada rakyat kita, rajin menunaikan tanggungjawabnya, dan dengan rasa ingin tahu mengenai pengetahuan baru dan dunia secara amnya.”
Aquino, digantikan Presiden Rodrigo Duterte, yang memulakan agenda antirasuah ketika pemerintahannya dan melaksanakan pembaharuan ekonomi utama.




