Bekas Presiden Korea Selatan didakwa salah guna kuasa

Bekas Presiden Korea Selatan didakwa salah guna kuasa
Suk Yeol ditahan semula pada minggu lalu. Foto Agensi

Suk Yeol ditahan semula pada minggu lalu. Foto Agensi

SEOUL – Bekas Presiden Korea Selatan yang dipecat, Yoon Suk Yeol berdepan dakwaan salah guna kuasa pada Sabtu susulan tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu.

Dakwaan itu dibuat selepas Suk Yeol ditahan semula pada minggu lalu setelah waran tangkap dikeluarkan ke atasnya atas kebimbangan beliau mungkin menghapuskan bukti.

“Pihak pendakwaan juga mengenakan pertuduhan menghalang tugas rasmi khas ke atasnya,” menurut pendakwa raya, Park Ji-young sambil menambah Suk Yeol tidak mengikut prosedur diperlukan ketika membuat keputusan melulu itu termasuk mengadakan mesyuarat bersama anggota Kabinet.

Menurutnya, bekas pemimpin itu juga bertindak menghapuskan dokumen palsu yang menyatakan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan mengesahkan pelaksanaan undang-undang tentera itu.

Sejak ditahan, Suk Yeol dikatakan enggan hadir untuk disoal siasat, namun beliau tampil di mahkamah pada Jumaat bagi memohon pembatalan waran tangkap terhadapnya.

Pasukan undang-undang beliau memaklumkan, Suk Yeol membentangkan hujah selama 30 minit dan menyebut tentang ‘mobiliti fizikal yang terhad dan cabaran dihadapinya’.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonannya.

Media tempatan melaporkan Suk Yeol ditahan di sel bersendirian yang tidak dilengkapi penyaman udara. – AFP

Scroll to Top