Bekas Setiausaha Puteri UMNO tanding Ketua Wanita Kuala Langat

Bekas Setiausaha Puteri UMNO tanding Ketua Wanita Kuala Langat

KUALA LANGAT: Bekas Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Langat pada Pemilihan Ahli Jawatankuasa Parti Peringkat Bahagian tahun ini.

Menurut Asuma Beevi Mohamed Sali, menyedari situasi pergolakan politik hari ini dan paras sokongan rakyat terhadap UMNO pada tahap rendah, beliau berharap diberi peluang untuk membuat perubahan.

“Saya juga percaya gabungan orang lama dan orang baharu penting bagi menarik kembali keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Saya juga melihat kegagalan kita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah medan untuk mana-mana pihak menuding jari kepada pengundi muda semata-mata tetapi ia adalah mesej jelas dari pengundi bahawa rakyat mahukan rejuvenasi di dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Asuma Beevi berkata, pemilihan UMNO kali ini adalah medan terbaik bagi UMNO memberi isyarat awal kepada rakyat bahawa pemerkasaan parti sedang berjalan di samping meraikan demokrasi sesama ahli parti.

Katanya lagi, di kala penolakan kepada UMNO agak jelas, sebagai orang muda dan mempunyai pengalaman bersama UMNO hampir dua dekad, dia kekal nekad ingin turut bersama dengan parti di dalam proses pemerkasaan tersebut.

“Pemimpin-pemimpin zaman saya adalah produk pengkaderan oleh UMNO. Kami telah melalui pelbagai fasa jatuh bangun UMNO dan sepak terajang ini membuatkan kami kental dan yakin kami mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top