Bekas suami Jahidah pukul isteri dituduh hari ini

Bekas suami Jahidah pukul isteri dituduh hari ini

SUNGAI PETANI: Bekas suami kepada Jahidah Nordin yang dipercayai mencederakan isteri baharunya akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini.

Lelaki berusia 43 tahun itu berkemungkinan didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Terdahulu, dia dibawa oleh pegawai penjara ke mahkamah tersebut kira-kira pukul 8.30 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian penjara berwarna merah.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang merupakan jururawat sebuah hospital cedera parah dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa keguguran, patah tulang rusuk serta tulang belakang.

Suspek yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak sembilan kali tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai mensasarkan pasangan yang mempunyai pekerjaan stabil terutama penjawat awam bagi menumpang kesenangan.

Kelmarin, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah, lima tahun lalu.

Hukuman maksimum itu dikenakan selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. – UTUSAN

Scroll to Top