am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka terhadap kes penipuan membabitkan pempengaruh media sosial yang menawarkan pakej pelancongan ke Korea menerusi promosi di TikTok.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, semua lapan kertas siasatan itu membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, IPD Kota Tinggi, IPD Seri Alam, IPD Iskandar Puteri, IPD Muar dan IPD Kluang.
“Kertas siasatan terhadap suspek akan dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk nasihat selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Kumar mengesahkan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang juga bekas suami kepada pempengaruh media sosial.
Menurutnya, suspek adalah pemilik kepada sebuah akaun syarikat yang digunakan untuk menerima pembayaran daripada mangsa yang terpedaya dengan tawaran untuk melancong ke Korea.
“Tangkapan pertama terhadap suspek dibuat pada 21 April lalu dan kini masih lagi dalam tahanan reman Polis Johor untuk siasatan lanjut.
“Selain Kontinjen Johor, siasatan juga mendapati suspek terbabit dengan modus operandi kes yang sama di lain-lain kontinjen. Siasatan kes masih diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd