PARIS – Bekas wartawan yang pernah menjadi mangsa pemindahan ke kem tahanan Buchenwald semasa Perang Dunia Kedua, Jacques Moalic, meninggal dunia pada usia 102 tahun.
Anaknya memaklumkan kepada Agence France-Presse (AFP) bahawa Moalic menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Paris pada Khamis lalu.
Moalic dihantar ke kem Buchenwald pada 18 Disember 1943 atas tindakan penentangan terhadap penjajah Nazi Jerman di Perancis.
Beliau menyaksikan pembebasan kem tersebut oleh tentera Amerika Syarikat pada 11 April 1945.
Selepas dibebaskan, Moalic menyambung pengajian dalam bidang undang-undang sebelum menyertai AFP sebagai wartawan kanan.
Sepanjang kerjayanya, beliau melaporkan berita-berita utama dari Algeria ke Vietnam, selain membuat liputan berhubung pentadbiran presiden Perancis.
Dalam satu wawancara bersama AFP tahun ini, sempena ulang tahun ke-80 pembebasan Buchenwald, Moalic berkongsi pengalaman getir sepanjang bulan-bulan terakhir beliau dalam tahanan.
Dianggarkan seramai 56,000 tahanan Yahudi, Roma dan Soviet kehilangan nyawa di kem yang terletak berhampiran bandar Weimar, Jerman itu, antara tahun 1937 hingga 1945.
“Pada 11 April, terdapat kegelisahan yang luar biasa di dalam kem.
“Para tahanan tidak pasti sama ada mereka akan dibebaskan atau dibunuh. SS mula mengosongkan kem, blok demi blok, menghantar kumpulan tahanan ke stesen kereta api Weimar di mana gerabak-gerabak kotor sudah menunggu,” katanya.
Menurut beliau, para tahanan yang masih tinggal bersedia untuk berjuang seandainya perlu.
“Tiba-tiba, satu unit tentera Amerika tiba. SS tidak bertempur, mereka lebih memilih untuk melarikan diri.
“Beberapa minit kemudian, kami bebas,” ulasnya.
Dalam catatan yang diterbitkan oleh AFP pada tahun 1985, Moalic turut mengimbas kembali perasaannya selepas dibebaskan. – Agensi