Kuala Lumpur: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri G Vadiveloo, 92, meninggal dunia dipercayai akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, pada 11.30 pagi tadi.
Naib Presiden MIC Datuk T Murugiah yang mengesahkan perkara itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Beliau menyifatkan pemergian bekas Setiausaha Agung MIC itu sebagai kehilangan besar kepada parti dan negara.
“Mendiang Vadiveloo adalah seorang pemimpin berdedikasi. Pemergiannya merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada MIC, malah kepada negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pengebumian akan berlangsung esok dengan upacara sembahyang mengikut agama Hindu dijadualkan dari tengah hari hingga 2 petang di kediamannya di Jalan Bukit Desa 3, Lorong Seputeh, di sini, sebelum jasad mendiang dibawa ke Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Vadiveloo berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dari 13 April 1992 hingga 12 Jun 1995.
© New Straits Times Press (M) Bhd




