Bekerja 'dua alam', 12 pekerja asing ditahan

Bekerja 'dua alam', 12 pekerja asing ditahan

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Siang menjadi pembantu rumah atau pekerja kilang manakala malam bekerja secara haram dalam sektor hiburan.

Itu trend ‘dua alam’ 12 pekerja asing yang ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di sebuah pusat hiburan, di sini, jam 1.30 pagi tadi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen, Basri Othman berkata, pihaknya menahan 12 warga asing membabitkan tiga warga Indonesia, tujuh warga Thailand dan dua warga Vietnam.

Katanya, serbuan itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan yang dikumpulkan sejak beberapa minggu lalu.

“Pemeriksaan awal kami mendapati kesemua 12 wanita itu melanggar peraturan imigresen, khususnya di bawah Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas yang diberikan.

“Tiada seorang pun memiliki dokumen sah untuk bekerja dalam industri hiburan,” katanya.

Basri berkata, pihaknya mendapati sekurang-kurangnya seorang daripada wanita terbabit memegang permit sah sebagai pembantu rumah.

“Dia berkemungkinan bekerja di sebuah rumah pada siang hari dan bekerja secara haram di pusat hiburan pada waktu malam.

“Ada juga yang dipercayai bekerja di kilang atau perkhidmatan pembersihan pada waktu siang sebelum bertukar syif malam di premis hiburan,” katanya.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, wanita terbabit dipercayai sedang melayan pelanggan sebelum premis itu dikepung dan dikawal pegawai penguat kuasa.

“Siasatan menunjukkan mereka telah menjalani susunan kerja dua pekerjaan ini selama kira-kira enam bulan dengan pendapatan dianggarkan antara RM150 hingga RM250 sejam sepanjang syif malam,” katanya.

Semua wanita berkenaan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut dan seterusnya akan ditahan di Depot Tahanan Imigresen Jawi sementara menunggu proses undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top