Bekorban demi segulung ijazah

Bekorban demi segulung ijazah

Kuala Lumpur: Di sebalik kehidupan kampus yang sering dilihat sebagai fasa paling indah dalam hidup, realitinya ramai penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bergelut senyap untuk terus bertahan, berdepan kekangan kewangan dan tekanan keperluan asas yang semakin mahal.

Ada kalangan mereka sanggup mengurangkan perbelanjaan untuk makan, bekerja sambilan selain berkorban tidak mengharapkan wang ibu bapa kerana ramai adik-beradik masih bersekolah demi untuk meneruskan kelangsungan hidup di kampus.

Namun, keprihatinan dan sokongan pihak berkaitan seperti universiti, agensi dan komuniti, sedikit sebanyak membantu golongan ini terus cekal berjuang menuntut ilmu.

Bahkan pujian buat golongan ini kerana mereka melaksanakan pelbagai pendekatan memastikan kelangsungan termasuk bijak mengurus perbelanjaan di kampus dengan berjimat cermat selain pembelian berhemah dengan tidak mengikut trend semasa.

Ikuti perkongsian tiga mahasiswa ini yang cekal meneruskan perjuangan menuntut ilmu demi tekad mengubah nasib diri dan keluarga melalui pendidikan.  

Kisah 1

Tidak mahu membebankan ibu bapa yang masih menanggung enam anak, Muhammad Khir Ramadhan Mohd Nor memilih berkorban dengan tidak meminta wang mereka semasa pengajiannya di menara gading.

Sebaliknya, Muhammad Khir Ramadhan, 21, bergantung sepenuhnya kepada simpanan hasil kerja sendiri bagi meneruskan pengajian kerana menyedari keadaan kewangan ibu bapanya yang perlu menyara lima adiknya.

Katanya, walaupun serba kekangan, pengorbanannya tidak meminta wang keluarga itu dianggap sebagai satu tanggungjawab supaya adik-beradik lain dapat terus bersekolah tanpa memberi beban tambahan kepada ibu bapa mereka.

“Ayah saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Tanah Merah, Kelantan manakala emak tidak bekerja. Enam orang termasuk saya masih dalam tanggungan keluarga.   

“Saya tidak sampai hati minta duit ayah sebab tahu keadaan kewangan keluarga kami macam mana lebih-lebih lagi lima adik saya masih bersekolah,” katanya.

Sebelum memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), anak ketujuh daripada 11 beradik ini berkata, dia sempat bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak di Tanah Merah selama empat bulan selepas tamat Tingkatan Enam bagi mengumpul simpanan.

“Sehari gaji saya kira-kira RM55 ikut hari bekerja. Dengan duit simpanan itulah saya gunakan membayar yuran semester pertama pengajian di UPSI. 

“Saya juga kini masih menunggu permohonan bantuan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang dalam proses,” katanya.

Penuntut Semester Satu Sarjana Muda Pendidikan Sastera Melayu ini berkata, sokongan komuniti dan pihak universiti termasuk Bahagian Hal Ehwal Pelajar, persatuan mahasiswa serta pensyarah membantu dirinya untuk terus bertahan serta bersemangat meneruskan pengajian.

Dia juga mengurus kewangan dengan lebih berhati-hati termasuk mengehadkan perbelanjaan makanan kira-kira RM10 ke bawah sehari selain memilih membuat pembelian barangan keperluan di platform e-dagang atas faktor harga lebih murah.

“Sepanjang pengajian saya juga dapat sokongan sekeliling seperti dapat pinjam buku rujukan senior atau membelinya pada harga murah manakala kos tugasan pula dikurangkan dengan berkongsi perbelanjaan secara berkumpulan bersama rakan-rakan.

“Kadang-kadang saya ada minta bantuan abang tetapi bukan selalu kerana tidak mahu menyusahkannya jadi saya berbelanja secara berhemah contohnya kalau hendak dapatkan apa-apa keperluan, saya beli di platform e-dagang kerana lebih murah selain makan di kafetaria murah,” katanya.

Anak ketujuh daripada 11 beradik ini berkata, kepayahan hidup dan kesungguhan bapanya menyara mereka sekeluarga membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh kerana menyedari perubahan nasib keluarga perlu diusahakan sendiri.

“Walaupun saya ada kakak dan abang yang bekerja, saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kerana mereka pun ada kehidupan sendiri.

“Jadi, sebab itu saya rasa perlu bergerak sendiri dan ubah nasib keluarga kami dengan belajar bersungguh-sungguh untuk capai impian saya menjadi guru,” katanya. 

Kisah 2

Demi kelangsungan hidup di kampus, Ahmad Iqbal Mohamed Kalanjiam memilih berjimat cermat bagi memastikan wangnya disimpan untuk keperluan pembelajaran dan kecemasan.

Ahmad Iqbal, 20, yang juga penuntut Semester Satu Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Arab Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kebanyakan masa dia hanya makan sekali sehari sama ada pada waktu pagi atau tengah hari manakala waktu malam sekadar mengambil makanan ringan bagi mengalas perut.

Katanya, kos satu hidangan makanan berat termasuk minuman di kampus mencecah sekitar RM10 hingga RM12 sehari menyebabkannya perlu lebih berdisiplin dalam mengurus perbelanjaan harian walaupun dirinya penerima pelbagai bantuan.

“Kebanyakan masa makan berat sekali sahaja. Malam makan ringan-ringan macam roti, biskut atau mi segera dalam bilik saja.

“Kalau ada program agihan makanan percuma macam food bank di kampus pada hari-hari tertentu, saya ambil makanan itu. 

“Jadi duit belanja beli makanan hari itu saya dapat simpan,” katanya.

Ahmad Iqbal berkata, pendekatan berjimat cermat itu membolehkannya terus bertahan di universiti kerana tidak mahu membebankan ibunya di kampung.

“Keluarga saya kehilangan sumber pendapatan utama selepas ayah yang berniaga barangan antik kecil-kecilan meninggal dunia ketika tidur pada 2020.

“Emak saya pula suri rumah sepenuh masa yang tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga kakak yang menghidap sakit saraf sejak kecil selain mengurus seorang adik saya yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, kelangsungan hidup keluarganya banyak bergantung kepada bantuan kebajikan daripada zakat negeri serta sokongan ahli keluarga.

Katanya, pengajiannya pula mendapat sokongan bantuan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), pinjaman Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (Wazan) UPM.

“Masa mula-mula pengajian, abang ipar saya turut membantu membayar yuran pendaftaran awal RM2,800. Saya juga pernah bekerja sambilan mengangkat barangan katering pada masa lapang.

“Alhamdulillah, pihak universiti, komuniti dan pelbagai pihak juga banyak memberi sokongan dari segi kebajikan dan moral termasuk pensyarah dan rakan-rakan yang menguatkan lagi semangat saya untuk belajar,” katanya.

Sebagai penuntut, rutin harian Ahmad Iqbal bermula dengan bangun awal pagi untuk memastikan hadir ke kelas tepat pada waktunya selain aktif bersukan menjalani gaya hidup sihat untuk kekal cergas.

Dia menasihati anak muda supaya jangan merendah diri dengan latar belakang keluarga sebaliknya menjadikan ujian itu sebagai pendorong untuk berjaya dalam hidup.

“Saya menjadikan masalah kewangan hari ini sebagai pendorong untuk terus berusaha mencapai impian sebagai seorang pendidik dan mengubah nasib keluarga saya suatu hari nanti.

“Jadi jangan malu dengan keadaan keluarga kita sebaliknya teruskan usaha, jaga disiplin dan gunakan setiap peluang yang ada dengan sebaik mungkin untuk berjaya,” katanya.

Kisah 3

Kesukaran ibu mendapatkan pekerjaan stabil kerana tidak berpeluang menyambung pelajaran, menjadi pengajaran berguna buat penuntut ini supaya cekal menuntut ilmu di kampus demi masa depan diri dan keluarga.

Iylia Maisarah Mohammad Fyaizul, 19, yang mengambil Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Teknologi MARA (UiTM)  berkata, pengalaman ibunya itu menjadi pendorongnya untuk terus berusaha mengubah nasib keluarganya.

“Ibu saya tidak berkesempatan untuk meneruskan sambung belajar menyebabkan sekarang dia sukar mencari kerja stabil yang dapat menanggung kami adik beradik. 

“Jadi ia menjadi pengajaran untuk saya teruskan pengajian jika masih diberi peluang dan berdikari untuk masa hadapan,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik ini, dia bersyukur pihak universiti dan zakat prihatin menyalurkan bantuan kewangan yang sedikit sebanyak membantu kelangsungan hidupnya sebagai penuntut.

“Saya juga ada buat kerja sambilan sebagai pembantu jualan di butik baju dan abaya tetapi hanya pada cuti panjang sahaja kerana takut tidak dapat memberi perhatian baik antara belajar dan bekerja.

“Alhamdulillah, dengan sokongan bantuan yang diberikan serta gaji pada musim cuti semester selain langkah berjimat cermat, ia membolehkan saya dapat meneruskan kehidupan di kampus dengan baik tanpa tekanan,” katanya.

Bagi memastikan diri kekal sihat dan bertenaga katanya, dia mengamalkan disiplin bangun awal pagi serta tidak membiarkan perut kosong walaupun jadual padat.

Nasihatnya kepada rakan seusia, jadikan pendidikan laluan penting untuk membela nasib dan mengubah masa depan keluarga.

“Jika ada peluang sambung belajar jangan tolak kerana ia akan mengubah segala-galanya termasuk nasib keluarga kita,” katanya.

231,000 pelajar IPT terima manfaat bantuan makanan YFBM

Kira-kira 231,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara menerima manfaat bantuan makanan menerusi program Food Bank Siswa yang dilaksanakan  Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) sejak 2019.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi YFBM, Mohamad Syah Hendri Herman Mardja berkata, bantuan disalurkan kepada pelajar IPT berbentuk makanan sedia dimakan (RTE) khususnya makanan kering yang diperoleh menerusi usaha menyelamatkan lebihan makanan daripada pihak industri pembuatan makanan.

Katanya, penuntut dipilih untuk menerima bantuan terdiri daripada kategori keluarga yang  kurang berkemampuan dengan kaedah pemilihan dilaksanakan melalui perbincangan bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar setiap IPT yang mempunyai maklumat serta rekod pelajar selain permohonan persatuan pelajar yang aktif dalam urusan kebajikan pelajar.

“Agihan makanan kepada pelajar IPT lazimnya dilaksanakan secara one-off dan disalurkan kepada unit kebajikan di IPT.

“Pengagihan seterusnya kepada pelajar akan diuruskan pihak institusi masing-masing berdasarkan keperluan semasa,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, jumlah penerima bantuan dinilai berdasarkan berat makanan diagihkan menerusi kepelbagaian jenis makanan yang diterima melalui program YFBM.

“Sepanjang tempoh operasi YFBM, lebih 81 tan makanan diagihkan kepada pelajar di IPT di seluruh Malaysia.

“Berdasarkan pengiraan piawai YFBM, 350 gram makanan bersamaan satu hidangan yang mewakili seorang pelajar dan berdasarkan kaedah itu dianggarkan 231,000 pelajar IPT sudah menerima manfaat bantuan makanan setakat ini,” katanya.

Mohamad Syah Hendri berkata, pihaknya terpanggil memperjuangkan nasib penuntut memerlukan memandangkan makanan satu keperluan asas dalam kehidupan seharian yang memerlukan sumber kewangan mencukupi.

“Pada masa sama, pelajar IPT juga perlu menanggung kos berkaitan pembelajaran seperti yuran, bahan akademik dan keperluan pengajian lain. 

“Kami percaya, pemberian bantuan makanan kepada pelajar dapat membantu meringankan beban kewangan mereka secara langsung. 

“Penjimatan yang terhasil daripada perbelanjaan makanan ini membolehkan pelajar menyalurkan lebihan kewangan itu kepada keperluan pembelajaran sekali gus menyokong kelangsungan pengajian dan tumpuan akademik mereka,” katanya.

Mengulas sasaran seterusnya, beliau berkata YFBM berhasrat mendapatkan lebih banyak sumbangan makanan kering dan makanan sedia dimakan secara berterusan bagi memastikan lebih ramai pelajar IPT menerima manfaat.

“Usaha ini bertujuan memperluaskan liputan bantuan dan mengukuhkan sokongan terhadap kebajikan serta kelangsungan pengajian pelajar di seluruh negara,” katanya.

Selain menyantuni pelajar IPT, katanya, YFBM turut membantu golongan terkesan akibat cabaran ekonomi khususnya golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar dan luar bandar, penoreh getah, nelayan pantai serta komuniti Orang Asli di seluruh Malaysia.

“Bantuan disalurkan melalui pelbagai program sepanjang tahun antaranya Kembara Merdeka, Kembara Tengkujuh, Susur Pulau dan Bantuan Bencana manakala program terdekat ialah Program Rahmat Ramadan YFBM yang dilaksanakan dengan kerjasama beberapa rakan korporat dan menyasarkan 4,000 penerima sepanjang Ramadan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top