'Bela' yang lama bak yang baru

'Bela' yang lama bak yang baru

Parit: Bagi seorang peminat kereta klasik, Mercedes-Benz Model 115 E Series peninggalan arwah bapanya bukan sekadar sebuah kenderaan, sebaliknya menjadi warisan berharga yang akan dijaga rapi walaupun usianya sudah mencecah separuh abad.

Masaud Mansor, 62, yang juga Penasihat Kelab Rekreasi Permotoran Mercedes Benz Negeri Perak (GPMP) berkata, kereta itu dibeli arwah bapanya terus dari Jerman pada 1975 sebelum dia mengambil alih tanggungjawab menjaga kenderaan itu selepas bapanya meninggal dunia.

“Selepas pemergian bapa, saya diamanahkan untuk menjaga kereta ini sejak 1990 dan sehingga kini ia sudah mengelilingi seluruh negara dan negara jiran tanpa masalah besar yang berlaku.

“Menariknya tentang kereta ini, ia bukan terletak pada klasik semata-mata, tetapi ia mempunyai nilai sentimental dan kenangan saya bersama arwah bapa ketika kanak-kanak sehinggalah dia pergi meninggalkan saya dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Konvoi Merdeka Classic Mercedes di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri, di sini, semalam.

Anak kelahiran Lekir, Manjung itu berkata selain model terbabit, dia turut memiliki 13 kereta Mercedes Benz model lain termasuk W129, W116, W124, W126 serta SLR 129.

Bapa lima cahaya mata itu berkata, dari segi penjagaan, dia tidak menghadapi masalah besar kerana mengenali ramai mekanik pakar di sekitar Manjung yang berpengalaman dalam selok-belok enjin serta komponen kenderaan klasik.

Menurutnya, alat ganti tidak sukar diperoleh berikutan kewujudan rangkaian rakan pemilik serta kumpulan komuniti yang sentiasa membantu mencari komponen asli dan berkongsi minat sama.

“Bagi saya, menjaga kereta lama sama seperti kereta baharu. Bezanya, kereta moden lebih bergantung kepada komputer dan sistem diagnostik, manakala model yang klasik ini pula lebih mekanikal dan mudah untuk diuruskan,” katanya.

Masaud berkata, dia membelanjakan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bagi penjagaan kereta namun menganggapnya sebagai hobi sederhana yang tidak terlalu membebankan.

“Ia bukan hobi mahal atau diminati golongan kaya semata-mata, pokok pangkalnya kena ada minat mendalam dan tahu di mana untuk dibaiki jika ada masalah,” katanya.

Ditanya sebab utama lebih meminati Mercedes Benz berbanding model kenderaan klasik lain, katanya ia terarah kepada sudut teknikal termasuk sistem suspensi yang masih mantap dan selesa, menjadikan kereta keluaran Jerman itu kekal relevan hingga ke hari ini.

Sementara itu, Presiden GPMP Yusri Yakub berkata, program dianjur bersama Yayasan Ikhtiar Parit cukup istimewa apabila lebih 68 Mercedes-Benz klasik dikumpulkan, seiring meraikan 68 tahun kemerdekaan negara.

Katanya, konvoi berkenaan membabitkan laluan sejauh 78 kilometer (km) selain menyantuni pelbagai golongan di beberapa lokasi sekitar Parlimen Parit itu bertujuan memberikan kefahaman erti kemerdekaan serta mewujudkan semangat patriotisme dalam diri masing-masing.

“Konvoi ini bukan sekadar mempamerkan kenderaan klasik semata-mata, tetapi kami mahu pupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan semua pihak termasuk pelajar.

“Inisiatif ini diharap dapat menyumbang kepada kemeriahan kita menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top