ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengakui masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki terutama membabitkan gaya tunggangan serta komunikasi dengan ketua mekaniknya selepas perlumbaan pertama musim ini di Grand Prix (GP) Thailand.
Menurut pelumba AEON Credit MT Helmets – MSI, komunikasi yang lebih baik dengan ketua krew penting bagi memastikan jentera dapat diselaraskan mengikut kesesuaiannya di litar.
“Saya rasa ruang yang perlu pertingkatkan adalah daripada segi tunggangan dan juga komunikasi dengan ketua krew supaya pelarasan jentera lebih sesuai untuk saya di litar,” katanya di ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama antara Aeon Credit Service dan MSI Racing Team.
Ketika ditanya sama ada wujud masalah bahasa dengan ketua mekaniknya yang berasal dari Sepanyol, Hakim Danish menjelaskan tiada isu besar namun dia mahu meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris bagi memudahkan komunikasi.
“Setakat ini tiada masalah besar. Cuma saya nak mempertingkatkan lagi komunikasi saya, terutama bahasa Inggeris saya,” katanya.
Hakim Danish berkata, ketua mekaniknya yang dikenali sebagai Jonathan Morales sudah bekerjasama dengannya sejak dia beraksi dalam Junior GP, dan hubungan mereka sudah memasuki tahun ketiga.
“Ketua krew saya dari Sepanyol, nama dia Jonathan. Kami sudah bekerja bersama sejak Junior GP, jadi kami memang sudah kenal antara satu sama lain,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Danish menjelaskan barisan mekanik bagi saingan Moto3 musim ini adalah baharu dan hanya Morales kekal bersamanya daripada pasukan lama.
Mengulas perlumbaan di Buriram, Hakim Danish mengakui saingan di kelompok hadapan terlalu pantas dan dia masih perlu meningkatkan prestasi dari segi tunggangan serta tetapan jentera.
“Perlumbaan di Thai GP memang agak sukar. Saya cuba kejar kelompok hadapan tetapi mereka terlalu laju. Jadi saya masih perlu pertingkatkan diri dari segi tunggangan dan juga setup jentera,” katanya.
Namun Hakim tetap optimis sasaran untuk meraih podium mampu dicapai jika dia terus bekerja keras sepanjang musim.
“Bagi saya, podium itu tidak mustahil. Dalam mentaliti saya memang nak podium dan saya akan bekerja keras untuk capai sasaran itu.
“Saya harap ia dapat dicapai secepat mungkin dan saya akan cuba fight setiap perlumbaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



