redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berbekalkan minat, pemuda ini mengambil inisiatif belajar sendiri teknik meninju hingga mahir dan dapat beraksi di gelanggang.
Ilmu dimiliki tidak disia-siakan sebaliknya digunakan Irfan Faris Hakim Hilmi Marod atau mesra disapa Faris, 21, untuk mengajar individu lain yang minat mempelajari teknik asas dalam tinju bermula dengan penubuhan Kelab Kasturi di kampus pengajiannya dekat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka.
Berkongsi kisahnya, Faris yang menggunakan nama Riskael SweetBoy ketika di gelanggang berkata, minat terhadap tinju mula ada dalam dirinya sejak di tingkatan dua lagi selepas menonton video di YouTube.
Katanya, berpandukan video ditonton, dia cuba belajar teknik dalam tinju dan dapat menguasainya walaupun tidak menggunakan khidmat jurulatih peribadi sejak awal pembabitannya dalam sukan berkenaan.
“Pada awalnya, saya minat buat rutin kecergasan di rumah dan kurang cenderung dalam aktiviti berpasukan kerana lebih gemar habiskan masa sendiri di rumah.
“Sampai satu tahap, saya jadi bosan tapi bila nampak tinju, timbul minat dan belajar hingga jadi peneman waktu lapang saya.
“Mulanya suka-suka saja tapi semakin aktif sejak dua tahun lalu dan disebabkan bergerak sendiri, saya ada tawarkan diri juga menjadi peninju bagi mewakili gimnasium yang nak menghantar wakil menyertai kejohanan tinju,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Faris, dia kini penuntut semester lima dalam jurusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media UiTM namun ia bukan satu masalah kerana masih dapat membahagikan masa antara belajar dengan rutin latihan.
“Kebiasaannya, saya akan fokus latihan pada sebelah petang juga malam iaitu selepas waktu kuliah.
“Berat macam mana pun, saya akan peruntukkan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk berlatih. Ia kerana saya akui masih banyak kekurangan dan sebab itu cuba ajak rakan peninju berlatih sama sebagai lawan bagi memperbaiki kelemahan.
“Saya juga sanggup turut serta dalam dua hingga tiga perlawanan dalam satu hari sebagai usaha untuk meningkatkan ketahanan dan pengalaman bertanding. Bagi saya, satu perlawanan saja tidak cukup untuk mengeluarkan potensi sepenuhnya, dan tak hanya fokus nak menang tetapi kepada lebih kepada meningkatkan prestasi,” katanya yang kini dibantu pengurus, Mohd Subri Safar Mohd, 42.
Di sebalik kepuasan dikecapi, Faris dari Klang, Selangor mengakui berdepan cabaran sebagai atlet amatur yang bergerak bebas kerana perlu melatih diri untuk mengekalkan disiplin dan konsisten dalam latihan kerana ketiadaan jurulatih peribadi.
Katanya, cabaran lain adalah kewangan kerana tinju menuntut perbelanjaan yang banyak merangkumi kos kesihatan dan pemulihan, kos latihan dan jurulatih, bimbingan teknikal, kos pembangunan diri juga pendedahan serta kos penyertaan kejohanan.
Justeru, Faris berikhtiar dengan menjual baju dan cenderahati sebuah syarikat pakaian yang kini menjadi penaja utamanya.
Pada masa sama, dia turut aktif dalam projek komuniti yang mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan dan kecergasan dikenali FITNITY di Puncak Alam, Selangor yang memberinya peluang menyumbang bakti kepada masyarakat dengan berkongsi ilmu dan mengajar anak muda berminat dalam tinju.
“Agak sukar untuk orang baru akses dalam sukan ini jadi saya tawarkan diri mengajar menerusi projek itu pada setiap Jumaat bermula jam 8.30 malam hingga 11 malam.
“Setiap kali mengajar, saya sendiri dapat mantapkan teknik yang ada cuma bila sudah hampir waktu kejohanan, saya akan berehat dan fokus dengan diri sendiri.
“Apa pun sebagai peninju, saya seronok kerana ramai mula hargai tinju cuma ada yang belajar seminggu dua tapi sudah berlawan sedangkan perlu ambil masa yang lama untuk berlatih jadi ia menjatuhkan nilai dalam sukan ini apabila tiada tapisan dibuat (untuk kejohanan),” katanya.
Sebagai peninju yang bergerak sendiri, Faris percaya dia tetap mampu bersaing dengan atlet lain yang mempunyai struktur latihan lengkap, jurulatih tetap dan sokongan berpasukan.
Faris juga mahu membuktikan dia mampu melakar kejayaan walaupun bergerak sendiri selagi ada disiplin dan konsisten tanpa bergantung kepada alasan.
“Buat masa ini, saya tidak terikat dengan mana-mana kelab , satu pendekatan yang jarang diamalkan dalam dunia tinju tempatan.
“Walaupun begitu, saya masih mempunyai satu pihak pengurusan bagi menguruskan aspek profesional serta bekerjasama dengan penaja utama yang menyokong perjalanan kerjaya saya,” katanya yang masih terbuka menerima tajaan daripada pihak berminat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




