Belajarlah daripada kegagalan

Belajarlah daripada kegagalan

Tahun baharu sering dianggap sebagai peluang untuk refleksi, pembaharuan dan perancangan masa hadapan. Ia melambangkan permulaan baharu yang memberikan ruang memperbaiki diri, menetapkan matlamat dan memperkuatkan azam dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada dalam kerjaya, hubungan atau spiritual.

Bagi kebanyakan individu, tahun baharu juga menjadi detik untuk menghargai pencapaian lalu dan belajar daripada kegagalan yang dihadapi. Ia selaras dengan konsep muhasabah dalam Islam, di mana umat dianjurkan untuk sentiasa menilai diri dan berusaha menjadi lebih baik berbanding sebelumnya. Dari sudut masyarakat, tahun baharu boleh dijadikan platform untuk memperkukuhkan perpaduan, memupuk semangat toleransi dan meningkatkan solidariti dalam menghadapi cabaran bersama. Dalam konteks negara, ia menjadi masa untuk merangka dasar dan strategi baru demi kemajuan ekonomi, sosial dan politik.

Tahun 2025 dijangka membawa pelbagai cabaran dan peluang yang memerlukan persediaan yang rapi dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam dunia yang semakin dinamik dan dipacu teknologi, individu, organisasi dan negara perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan kelangsungan dan kemajuan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (Hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Rasulullah SAW pula bersabda yang bemaksud: “Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara: Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu. Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu. Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu. Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu, Hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadis Riwayat al-Hakim)

Sebagai seorang Muslim, cabaran yang dihadapi tidak hanya berkisar pada isu ekonomi dan teknologi, tetapi juga beberapa aspek spiritual, sosial dan moral. Pertama, tanggungjawab mempertahankan nilai dan identiti Islam. Dalam era globalisasi dan arus modenisasi, cabaran utama bagi Muslim adalah mempertahankan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian. Pengaruh budaya luar yang bertentangan dengan ajaran Islam boleh memberi kesan kepada identiti dan akhlak generasi muda.

Kedua, berkaitan pendidikan Islam dan kefahaman agama. Pendidikan agama yang mantap penting bagi pastikan generasi muda memahami dan amalkan ajaran Islam dengan betul. Terdapat keperluan memperkukuh institusi pendidikan Islam dan memperkenalkan pendekatan yang relevan dengan cabaran semasa.

Ketiga, isu kesepaduan ummah. Dalam menghadapi cabaran sosial dan ekonomi, perpaduan dalam kalangan umat Islam menjadi kunci utama. Perbezaan fahaman dan kepelbagaian pandangan perlu diuruskan dengan hikmah bagi mengelakkan perpecahan.

Keempat, isi berkaitan ekonomi dan keusahawanan Muslim. Muslim di Malaysia perlu terus mengukuhkan kedudukan ekonomi melalui penglibatan dalam sektor perniagaan dan keusahawanan. Ini termasuk menyokong produk halal dan mengembangkan ekonomi Islam.

Kelima, menjaga kelestarian dan menunaikan tanggungjawab sosial. Islam menekankan kepentingan menjaga alam sekitar dan membantu golongan yang memerlukan. Muslim perlu memainkan peranan dalam memastikan pembangunan yang lestari dan adil untuk semua.

Manakala sebagai rakyat Malaysia secara amnya, sekurang-kurangnya lima cabaran utama yang memerlukan perhatian khusus sebagai persediaan menghadapi tahun 2025. Pertama, ialah ketidaktentuan ekonomi global. Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa akan terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi global. Fluktuasi harga minyak, ketegangan geopolitik dan pemulihan pasca-pandemik akan memberi impak kepada kestabilan ekonomi negara.

Kedua, cabaran dari segi jurang digital. Walaupun Malaysia sedang pesat membangun dalam bidang teknologi, masih terdapat jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar. Akses kepada teknologi dan internet yang tidak sekata boleh menyebabkan ketidakadilan dalam beberapa aspek khususnya peluang pendidikan dan pekerjaan. Ketiga, cabaran menghadapi pengangguran belia. Cabaran mendapatkan pekerjaan bagi golongan belia dijangka meningkat jika mereka tidak memiliki kemahiran yang sesuai dengan keperluan industri masa hadapan. Persaingan global dan automasi turut memberi tekanan kepada pasaran kerja.

Keempat, mendepani perubahan iklim. Malaysia berdepan dengan risiko bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan cuaca ekstrem akibat perubahan iklim. Isu ini memerlukan tindakan segera dalam bentuk dasar dan kesedaran masyarakat. Kelima, menghadapi isi kesejahteraan mental. Tekanan hidup, kos sara hidup yang meningkat dan beban kerja yang tinggi boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental rakyat Malaysia. Isu ini memerlukan perhatian khusus daripada pihak berkuasa dan masyarakat.

Tegasnya, persediaan menghadapi tahun 2025 memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pembangunan kemahiran, kestabilan ekonomi, kesiapsiagaan teknologi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar. Dengan persediaan yang menyeluruh, kita mampu menghadapi cabaran dan merebut peluang yang bakal muncul pada tahun 2025.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top