Belanda lakar sejarah, mara ke final Piala Davis selepas 104 tahun

Belanda lakar sejarah, mara ke final Piala Davis selepas 104 tahun

Malaga: Belanda melakar sejarah apabila mara ke final Piala Davis buat kali pertama selepas menewaskan Jerman 2-0 pada aksi separuh akhir.

Kapten pasukan, Paul Haarhuis, menyifatkan pencapaian ini sebagai sesuatu yang ‘unik’.

Tallon Griekspoor memastikan kemenangan dengan menundukkan Jan Lennard Struff 6-7 (4/7), 7-5, 6-4 dalam perlawanan perseorangan kedua yang penuh dramatik.

Sebelumnya, Botic van de Zandschulp membuka jalan kemenangan apabila menewaskan Daniel Altmaier 6-4, 6-7 (12/14), 6-3 dalam perlawanan pembukaan yang sengit.

Belanda sebelum ini menyingkirkan Sepanyol, yang diperkuat Rafael Nadal, di peringkat suku akhir.

Ini adalah kali pertama mereka mara ke final dalam tempoh 104 tahun penyertaan mereka dalam kejohanan ini.

“Apa yang kami lakukan ini lebih unik berbanding pasukan seperti Itali yang memiliki pemain nombor satu dunia seperti Jannik Sinner,” ujar Haarhuis, yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan Belanda yang mara ke separuh akhir 23 tahun lalu.

Belanda berjaya mematahkan rentetan kekalahan mereka di peringkat suku akhir selama dua tahun berturut-turut dan kini menantikan pertemuan dengan juara bertahan Itali atau Australia di final.

Bagi Jerman, yang kali terakhir muncul juara pada 1993, kekalahan ini menutup peluang mereka untuk mara ke final buat kali keenam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top