Berlin: Belanda menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua dalam masa tujuh minit untuk bangkit dari ketinggalan dan menewaskan Turkiye 2-1 bagi menempah pertembungan separuh akhir Euro 2024 menentang England.
Samet Akaydin meletak Turkiye di depan pada separuh masa pertama tetapi Stefan de Vrij menanduk masuk gol Belanda dan Murt Muldur menjaringkan gol sendiri ketika ditekan Cody Gakpo selepas 76 minit untuk memberikan kemenangan Belanda.
Pertembungan suku akhir di Berlin dibayangi perbalahan diplomatik antara Turkiye dan Jerman itu selepas wira mereka ketika peringkat 16 terakhir, Merih Demiral digantung dua perlawanan kerana melakukan isyarat kontroversi.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hadir menyaksikan perlawanan di Olympiastadion bersama dengan puluhan ribu peminat membuat tiupan wisel setiap kali Belanda menguasai bola.
Belanda mengatasi tekanan daripada penonton dan gaya bertenaga Turkiye kini mara ke separuh akhir Euro buat kali pertama sejak 2004.
“Malam ini kami perlu menggali dengan sangat dalam dan saya bangga dengan mereka.
“Kami bermula dengan sangat baik di mata saya (tetapi) kami kehilangan bola pada saat-saat berbahaya. Kemudian kami perlu mencuba, bertenang dan memanfaatkan peluang yang datang.
“Kami mahu memenuhi impian kami dan kami selangkah lebih dekat,” kapten Belanda Virgil van Dijk.
Juara Euro 1988 itu terlebih dahulu mencipta peluang pertama, dengan Gakpo dan Memphis Depay berganding bahu namun gagal menemui gol.
Koeman mengetuai Belanda untuk menjulang kejayaan 36 tahun lalu tetapi sehingga kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Romania pada pusingan 16 terakhir, Belanda kelihatan tidak mampu untuk mencabar trofi, apabila hanya berjaya ke pusingan kalah mati dengan status pasukan di tempat ketiga.
Akaydin yang menggantikan Demiral membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi tandukannya sekali gus menggamatkan stadium yang dipenuhi hampir majoritinya daripada penyokong Turkiye.
Ketika perlawanan berbaki 20 minit, Stefan de Vrij menemui jaringan penyamaan menerusi tandukannya untuk menewaskan penjaga gol Turkiye, Mert Gunok.
Enam minit kemudian, Belanda mendahului permainan apabila hantaran rendah Denzel Dumfries ditampan masuk Muldur ke gawang sendiri.
Ia adalah gol sendiri ke-10 dalam kejohanan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




