Belanda mengganas benam Malta 8-0

Belanda mengganas benam Malta 8-0

Paris: Belanda meneruskan permulaan sempurna dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Eropah apabila membelasah Malta 8-0 pada aksi Kumpulan G, awal pagi tadi.

Pada masa sama, pencabar kumpulan mereka, Poland, terus dirundung malang apabila tewas 1-2 kepada Finland.

Keputusan itu menyaksikan Finland kini mendahului Kumpulan G dengan tujuh mata, satu mata di depan Belanda yang masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan. Poland pula di tangga ketiga dengan enam mata daripada tiga aksi.

Bermain di Groningen, Belanda tidak membuang masa apabila mendahului 3-0 dalam tempoh 20 minit pertama ke atas Malta yang jelas tenggelam dalam perlawanan itu.

Memphis Depay membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-9, sebelum meledak gol kedua tujuh minit kemudian menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.

Dua jaringan itu membawa Depay menyamai rekod Robin van Persie sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda dengan 50 gol antarabangsa.

Kapten pasukan, Virgil van Dijk, menambah derita Malta apabila menyumbat gol keempat menerusi sepakan kaki kanan dari jarak 20 ela ke penjuru bawah gawang.

Belanda terus ‘menekan pedal minyak’ apabila Xavi Simons, Donyell Malen (dua gol), Noa Lang dan Micky van de Ven turut mencatat nama sebagai penjaring.

Sementara itu, Poland yang tampil tanpa Robert Lewandowski buat kali pertama sejak pengumuman persaraannya daripada skuad kebangsaan, dikecewakan tuan rumah Finland 1-2 di Helsinki.

Lewandowski, 36, yang sudah beraksi sebanyak 158 kali dan menjaringkan 85 gol untuk negaranya, mengumumkan pada Ahad lalu bahawa dia tidak akan menyarung jersi Poland selagi jurulatih Michal Probierz masih mengemudi pasukan.

Tanpa penyerang prolifik itu, Poland ketinggalan hasil jaringan penalti Joel Pohjanpalo pada minit ke-31, sebelum Benjamin Kallman menggandakan kelebihan sembilan minit selepas babak kedua bersambung.

Jakub Kiwior merapatkan kedudukan pada minit ke-69, namun permainan dihentikan beberapa minit kemudian selepas seorang penonton dilaporkan jatuh sakit di tempat duduk penonton.

Perlawanan bersambung selepas terhenti lama, namun segala tekanan yang diberikan Poland gagal menghasilkan gol penyamaan meskipun mereka menggempur habis-habisan ke arah pintu gol Finland.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top