MANCHESTER United gagal memanfaatkan barisan serangan baharu bernilai tinggi apabila tunduk 0-1 kepada Arsenal dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford pada Ahad.
Jaringan tunggal perlawanan disempurnakan pertahanan Itali, Riccardo Calafiori selepas memanfaatkan sepakan penjuru pada minit ke-13.
United sebelum ini berbelanja besar sebanyak £200 juta (RM1.14 bilion) untuk memperkuatkan jentera serangan yang tumpul musim lalu.
Namun, dua pemain baharu, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo gagal menjaringkan gol dalam penampilan sulung mereka manakala pemain gantian, Benjamin Sesko juga tidak mampu menghukum Arsenal yang tidak meneruskan minat terhadap penyerang Slovenia itu.
Arsenal yang menamatkan saingan di tempat kedua tiga musim berturut-turut kini berusaha menamatkan penantian gelaran liga sejak kali terakhir menjulang trofi pada musim 2003/04.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta bagaimanapun bergantung pada keteguhan benteng pertahanan serta ketangkasan penjaga gol David Raya untuk membawa pulang tiga mata berharga.
United yang hanya menjaringkan 44 gol dalam 38 perlawanan liga musim lalu antara yang terendah dalam EPL menutup musim paling buruk dalam tempoh 51 tahun apabila sekadar menduduki tangga ke-15.
Kehadiran muka baharu sedikit sebanyak mengubah suasana di Old Trafford dengan lebih 75,000 penyokong tetap pulang dengan rasa terhibur melihat persembahan skuad kendalian Ruben Amorim.
Cunha dan Mbeumo pada awal permainan berjaya mengganggu gandingan pertahanan kental Arsenal, Gabriel Magalhaes dan William Saliba. Namun, kesilapan Bayindir pada minit ke-13 ketika gagal menepis sepakan sudut Declan Rice memberi ruang mudah buat Calafiori menanduk masuk ke gawang terbuka.
Patrick Dorgu hampir menyamakan kedudukan buat United sebelum rehat, namun rembatannya sekadar singgah di tiang gol. Raya turut menafikan beberapa percubaan lemah Cunha dan Mbeumo selain melakukan aksi cemerlang menepis percubaan bahaya penyerang Brazil itu.
Arsenal sebelum ini berminat mendapatkan Sesko lebih setahun lalu tetapi akhirnya memilih Viktor Gyokeres sebagai penyelesaian di posisi penyerang utama. Bagaimanapun, Gyokeres gagal menyerlah pada penampilan sulung EPL dan digantikan Kai Havertz.
Sesko pula dimasukkan tidak lama selepas itu dan menerima sambutan hangat penyokong selepas menolak tawaran Newcastle demi menyertai United.
Skuad The Red Devils terus menguasai permainan, namun usaha mereka dipatahkan Raya termasuk menafikan tandukan padu Mbeumo.
Arsenal kekal bertahan sehingga tamat perlawanan sekali gus memastikan tiga mata penting untuk kekal seiring pesaing utama kejuaraan, Liverpool dan Manchester City yang turut menang pada perlawanan pembukaan.