KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM324 juta dalam Belanjawan 2023 bagi menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk manfaat semua atlet termasuk atlet para.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan yang diberikan itu antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan secara menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara.
“Kerajaan juga bersetuju potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi,” katanya.
Anwar menambah, sebanyak RM20 juta juga diperuntukkan kepada program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum.
“Bagi menjayakan program-program ini, kerajaan akan menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan,” katanya
Selain itu, Anwar, berkata bagi memelihara dan melindungi kebajikan atlet, dana RM5 juta disediakan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula tahun ini.
“Dalam masa sama, kerajaan turut bercadang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara,” katanya. – MalaysiaGazette