asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan akan memberikan potongan cukai tambahan 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bagi menggalakkan wanita kembali ke sektor pekerjaan.
Seiring dengan itu kata beliau, Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) akan diperhebat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita.
“Program Returnship akan diperintiskan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan.
“Program anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia itu akan menyediakan kemudahan latihan, kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar lagi, purata wanita memegang jawatan lembaga pengarah dalam 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah pada kadar 32.2 peratus setakat 10 Oktober lalu.
Kata beliau, meskipun sasaran 30 peratus pembabitan wanita sudah dicapai namun ia masih belum dipenuhi oleh 39 syarikat dalam lembaga pengarah mereka.
“Kerajaan menyeru supaya sasaran ini dicapai semua syarikat sebelum akhir tahun 2027, ” katanya.
Dalam pada itu, sejumlah RM470 juta dana pembiayaan disediakan oleh SME Bank, BSN, Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita.
Ia bagi mendapatkan modal kerja, membeli aset dan seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Selain itu, kerajaan juga akan memberi potongan cukai tambahan 50 peratus ke atas perbelanjaan kos pembangunan kapasiti dan perolehan perisian yang ditanggung oleh majikan dalam melaksanakan pengaturan kerja fleksibel. Potongan cukai tambahan 50 peratus turut diberikan bagi kemudahan cuti penjagaan tambahan berbayar oleh majikan sehingga 12 bulan kepada pekerja yang menjaga anak atau ahli keluarga yang sakit atau kurang upaya.
Sementara itu, untuk membendung risiko tinggi jangkitan Hepatitis B dalam kalangan bayi yang baru lahir, kerajaan turut menyediakan RM5 juta bagi melaksanakan Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan.
Ia bagi memulakan saringan Hepatitis B secara universal kepada 420 ribu ibu hamil untuk pengesanan dan rawatan awal penyakit dalam usaha melahirkan generasi yang sihat serta produktif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




