am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peruntukkan sebanyak RM2.6 biliion bagi memperkasa syiar Islam di seluruh negara menerusi Belanjawan MADANI 2026 menggambarkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemuliaan Islam terus terpelihara di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Naim Mokhtar, berkata, peruntukan besar itu menjadi bukti bahawa Islam terus menjadi tunjang pembangunan negara, bukan sekadar dalam urusan ibadah tetapi turut merangkumi bidang pendidikan, kemahiran dan kesejahteraan umat.
“Sebanyak RM150 juta disediakan untuk menaik taraf sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar. Malah 720 pelajar tahfiz akan diberi latihan kemahiran profesional melaluiGiatMARA agar mereka bukan sahaja mahir dalam al-Quran tetapi juga berkemahiran untuk masa depan,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa institusi masjid terus dimartabatkan sebagai pusat komuniti Islam melalui penganjuran Anugerah Masjid Malaysia dan Konvensyen Masjid.
Katanya, usaha berkenaan adalah untuk menjadikan masjid bukan sekadar tempat solat tetapi pusat penyatuan masyarakat dan pembinaan ummah.
Dalam bidang ilmu dan al-Quran pula, katanya, Malaysia akan mencetak 100 juta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa dunia, disertai pembangunan Mushaf Madani dan Kompleks Maddinatur al-Quran di Putrajaya.
“Langkah ini akan menjadikan Malaysia terus unggul sebagai pusat rujukan Islam global,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan juga menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan menunaikan haji kepada RM10,000.
Menurutnya, pelaksanaan itu turut dilaksanakan dengan penyediaan sebanyak RM35 juta sumbangan khas kepada 70,000 petugas agama termasuk imam, bilal, siak, guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dan takmir.
“Ini membuktikan kasih dan penghargaan Kerajaan MADANI terhadap wira agama di seluruh pelosok tanah air.
“Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar angka, ia tentang membina harapan, memperkasa nilai dan menegakkan syiar Islam demi kesejahteraan ummah.
“Bersama kita jayakan transformasi al-falah menuju Malaysia yang rahmat, sejahtera dan diberkati,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




