hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai iltizam kerajaan dalam memperkukuh keselamatan negara dan memperkasa kebajikan warga pasukan keselamatan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan serta komitmen berterusan melalui pengumuman Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, peruntukan sebanyak RM21.2 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga mencerminkan tekad padu kepimpinan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara stabil, sejahtera dan berdaya saing.
“Belanjawan ini bukan sekadar dokumen fiskal tetapi manifestasi kepada iltizam kerajaan dalam memperkukuh keselamatan negara dan memperkasa kebajikan warga pasukan keselamatan.
“Peruntukan berkenaan dijangka memberi impak positif terhadap kebajikan, prasarana dan kecekapan perkhidmatan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, PDRM menegaskan komitmen untuk melaksanakan setiap inisiatif yang diterima dengan penuh amanah, Integriti dan disiplin kewangan yang tinggi.
Beliau berkata, setiap sen peruntukan akan dimanfaatkan secara optimum untuk memperkukuh sistem keselamatan nasional serta menjamin kesejahteraan umum.
“PDRM kekal teguh mendukung dasar kerajaan dalam kerangka ekonomi MADANI, berteraskan nilai profesionalisme, integriti dan kesejahteraan rakyat.
“PDRM akan terus mengangkat perkhidmatan kepolisian supaya selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara aman, makmur dan dihormati di pentas antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




