Belanjawan 2026 pacu pemodenan pertahanan dan industri tempatan

Belanjawan 2026 pacu pemodenan pertahanan dan industri tempatan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Belanjawan 2026 disifatkan sebagai berpandangan jauh apabila memberi penekanan kepada aspek keselamatan negara melalui peruntukan besar kepada sektor pertahanan serta pelaburan strategik yang menyokong pertumbuhan industri tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Datuk Indera Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, peruntukan RM21.2 bilion kepada Kementerian Pertahanan menunjukkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pelaburan dalam sistem pertahanan udara, kapal sokongan pelbagai peranan dan kenderaan taktikal akan memacu transformasi ATM, selain meningkatkan tahap keselamatan negara secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memuji inisiatif kerajaan yang menggabungkan aspek ketenteraan dan pembangunan sosioekonomi, khususnya melalui program peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran veteran di bawah PROTEGE yang mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat secara keseluruhan.

Katanya, penekanan kepada pembangunan keupayaan tempatan seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi tinggi, modal insan dan digitalisasi akan membantu memperkukuh ekosistem industri pertahanan negara.

“Langkah ini akan memastikan Malaysia kekal berdaya saing, berdikari dan bersedia menghadapi cabaran dalam persekitaran serantau yang semakin kompleks,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top