London: Belgium mengakui bernasib baik apabila seri dengan Itali yang beraksi dengan 10 pemain dalam Liga Negara-Negara, dengan jurulatih Domenico Tedesco terpaksa mempertahankan taktikalnya.
Belgium ketinggalan 2-0 selepas 24 minit pada hari namun bangkit untuk seri 2-2 selepas Itali kehilangan Lorenzo Pellegrini yang dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama, selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Kami benar-benar bergelut dan kad merah itu sangat membantu kami,” kata Tedesco.
Itali menjaringkan gol pada minit pertama apabila Andrea Cambiaso menyumbat bola sebelum penyerang Mateo Retegui menjadikan kedudukan 2-0 selepas 24 minit.
“Kami tahu kami boleh bermain dengan lebih baik, tetapi gol cepat itu mengganggu semua perancangan kami.
“Semasa menguasai bola, kami tetap dengan rancangan, tetapi tanpa bola, kami berada terlalu tinggi. Pemain Itali sentiasa mempunyai kelebihan di bahagian tengah. Jadi, tekanan kami tidak berkesan,” kata jurulatih Belgium itu.
Namun, selepas mereka mendapat kelebihan pemain, Belgium berjaya kembali ke dalam perlawanan.
“Kebiasaannya lebih sukar untuk menjaringkan gol menentang 10 pemain Itali. Mereka tahu bagaimana untuk bertahan. Dari saat mereka bertahan yang berlaku selepas kad merah ia menjadi lebih sukar, tetapi kami mengubah taktikal dan ia berhasil,” katanya.
Salah satu perubahan adalah menempatkan Jeremy Doku kembali ke posisi biasa di sayap kiri, di mana dia membantu memecahkan pertahanan tuan rumah apabila Belgium menjaringkan gol menerusi Maxim de Cuyper dan Leandro Trossard.
“Di Manchester City, dia bermain di sebelah kanan dalam beberapa perlawanan terakhir mereka. Biasanya dia berdepan dengan dua pemain yang menjaganya, itulah sebabnya kami mahu dia di situ.
“Ia bukan kerana kedudukan Doku kami bolos gol-gol itu. Ia kerana kami bermain terlalu rapat. Akhirnya, keadaan menjadi lebih baik selepas dia beralih ke kiri,” kata Tedesco.
© New Straits Times Press (M) Bhd




