Belgium enggan pulang awal

Belgium enggan pulang awal

Los Angeles: Pengendali Belgium, Rudi Garcia tidak terkesan dengan status pasukannya sebagai pilihan kurang diberi perhatian apabila berdepan Sepanyol pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 awal pagi esok, sebaliknya percaya anak buahnya mampu mencipta kejutan besar.

Sepanyol hadir ke Stadium Los Angeles sebagai pasukan pilihan selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, termasuk rekod belum dibolosi selain status selaku juara Eropah.

Bagaimanapun, Garcia percaya Belgium memiliki kemampuan untuk menyingkirkan Sepanyol dan melangkah ke separuh akhir.

“Semua orang sudah bercakap mengenai kami akan pulang. Tetapi kami percaya kami mampu melakukannya.

“Kami yakin boleh mencipta kejutan dan akan melakukan segala-galanya untuk mara ke separuh akhir,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan.

Perjalanan Belgium ke suku akhir tidak semudah Sepanyol apabila mereka hanya muncul juara kumpulan selepas mencatat dua keputusan seri menentang Mesir dan Iran sebelum bangkit menyingkirkan Senegal menerusi jaringan lewat permainan.

Namun, Belgium mula menunjukkan peningkatan pada pusingan 16 terbaik apabila membelasah tuan rumah bersama, Amerika Syarikat 4-1 sekali gus menamatkan cabaran pasukan itu di hadapan penyokong sendiri.

Garcia turut menegaskan Belgium mempunyai kekuatan serangan yang tidak boleh dipandang ringan apabila mereka antara pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam kejohanan itu.

Belgium kini mengumpul 13 gol, hanya di belakang Perancis dan Argentina, selain merekodkan 107 percubaan ke arah gawang, jumlah kedua tertinggi selepas Perancis yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.

Mengulas kemungkinan berdepan tekanan daripada penyokong Amerika Syarikat selepas menyingkirkan pasukan tuan rumah, Garcia berkata, perkara itu bukan kebimbangannya.

“Kami baru sahaja menewaskan Amerika Syarikat di stadium yang majoriti penyokong menyebelahi mereka. Jadi saya tidak fikir keadaan akan menjadi lebih sukar esok.

“Bukan penyokong yang menjaringkan gol. Kami perlu fokus kepada perkara yang mampu dilakukan kerana kami sudah mempunyai cabaran besar berdepan skuad Sepanyol yang begitu hebat,” katanya.

Sementara itu, penyerang berpengalaman Belgium, Romelu Lukaku turut menegaskan pasukannya tidak mahu sekadar menjadi pelengkap saingan di suku akhir.

“Jika anda sudah sampai sejauh ini, anda tidak bermain hanya untuk pulang. Kami juga mempunyai bakat yang diperlukan. Esok kami perlu beraksi dengan sempurna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top