kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pembelian secara dalam talian kini menjadi trend berbelanja pilihan ramai terutama dalam membeli pakaian untuk musim perayaan yang bakal menjelang tiba.
Rata-rata pembeli menyatakan mereka lebih cenderung mendapatkan pakaian melalui platform dalam talian kerana menawarkan banyak pilihan pada harga yang lebih murah berbanding pembelian di kedai, selain tidak perlu bersesak di tempat tumpuan ramai.
Bagi Norafiza Jaafar, 37, dia memilih beli-belah dalam talian kerana tidak suka bersesak di kawasan pusat beli-belah utama negara, terutama ketika musim perayaan.
“Selain banyak pilihan jenis pakaian, kita tak perlu bersusah payah menghadap kesesakan jalan raya dan semua boleh dilakukan hanya di hujung jari.
“Lagi pula, saya akan pastikan membeli keperluan raya lebih awal dan sekarang platform e-dagang banyak tawarkan fesyen terkini,” katanya kepada Harian Metro.
Turut mengikuti trend sama, Nur Alia Izati Zainal, 20, berkata, dia akan membeli-belah secara dalam talian kerana lebih mudah dan menjimatkan tenaganya.
“Sekarang dah moden, kalau beli barang untuk raya, tak perlu keluar rumah. Ramai yang tak suka bersesak-sesak, jadi lebih senang beli Online,” katanya.
Nur Alia berkata, dia akan membeli-belah dalam talian bukan hanya ketika musim perayaan semata-mata, sebaliknya ketika mahu mendapatkan barang keperluan harian dan ia lebih berbaloi ketika berbelanja ketika penstriman langsung.
“Ketika ‘live’ lebih banyak promosi, diskaun dan baucar diberikan kepada pelanggan, yang mana ini semua kita tak dapat jika beli di kedai,” katanya.
Sementara itu, Ain Nasuha Khairul Anwar, 24, berkata meskipun dia lebih suka membeli pakaian raya di kedai fizikal, namun dia mengakui akan membeli barangan lain seperti kosmetik secara dalam talian kerana lebih mudah.
“Baju raya, saya lebih suka beli secara fizikal sebab boleh tengok jenis kain dan senang untuk cuba terus, tapi ada juga saya beli Online kerana banyak fesyen dan pilihan warna boleh dipilih.
“Tidak dinafikan Online lagi senang, tak perlu keluar rumah, terutamanya masa perayaan, ramai orang, beratur panjang dan sesak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




