Beli dalam talian, hidupkan kembali ekonomi Indonesia, gesa Jokowi

Beli dalam talian, hidupkan kembali ekonomi Indonesia, gesa Jokowi
Orang ramai membeli pakaian pada minggu terakhir Ramadan di Jakarta hari ini. Indonesia kini cuba menumpukan kepada aktiviti beli belah dalam talian untuk mendorong ekonomi negara. (Gambar AP)

JAKARTA: Indonesia telah mencuba pelbagai cara untuk menggiatkan semula perbelanjaan pengguna, daripada kereta bebas cukai kepada pemberian semula tunai, namun tidak berhasil.

Kini, negara tersebut cuba menumpukan kepada aktiviti beli belah dalam talian.

Lebih daripada 70 platform e-dagang, termasuk syarikat gergasi seperti PT Tokopedia, Lazada, Group SA dan Shopee, terlibat dalam kempen “Minggu Beli Belah Kebangsaan” yang dilancarkan pada Rabu.

Kempen itu yang akan berlangsung sehingga 13 Mei dipromosikan sendiri oleh Presiden Joko Widodo, atau lebih popular dipanggil Jokowi, dalam program televisyen, manakala selebriti tempatan mendendangkan irama untuk menggalakkan orang ramai membeli produk seperti kain batik dan biskut “semprong”.

“Jika hendak beli hadiah untuk sanak saudara dan rakan yang jauh, hanya pesan dalam talian untuk kirim kepada mereka, supaya mereka dapat menerimanya di mana saja mereka berada,” kata Jokowi, yang memakai jaket hijaunya yang popular dijual di platform e-dagang sebagai “jaket Jokowi”.

Indonesia mungkin berharap untuk meniru kejayaan kempen beli belah dalam talian di negara lain, seperti Cyber Monday di Amerika Syarikat dan Singles’ Day di China, yang menjadi acara popular di seluruh negara.

Perbelanjaan pengguna, yang menyumbang lebih daripada separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia, kekal merosot, sekalipun dengan pelancaran vaksin dan kadar jangkitan Covid-19 semakin stabil di negara itu.

KDNK bagi suku pertama menyusut lebih daripada yang dijangka, kerana sekatan berkaitan virus menyebabkan rakyat tidak keluar rumah, dan operasi pusat beli belah dan premis makanan dihadkan.

Kerajaan telah merendahkan jangkaan pertumbuhannya bagi tahun ini kepada 4.5%-5.3%.

Persatuan E-Dagang Indonesia, yang mewakili syarikat seperti Lazada, Shopee, Tokopedia, Blibli and Bukalapak, berkata ahlinya akan menawarkan penghantaran percuma semasa kempen itu.

Lazada turut menawarkan pemberian semula tunai, sementara Tokopedia akan memberi diskaun sehingga 90%.

Strategi ini mungkin berkesan bagi Indonesia memandangkan populasi belia dan celik IT di negara itu telah mendorong ekonomi Internetnya berkembang lebih 10% kepada USD44 bilion tahun lalu, perkembangan terpesat di rantau Asia Tenggara.

Kerajaan menjangkakan hasil transaksi sewaktu kempen itu boleh mencecah lebih daripada 11.5 trilion rupiah (USD805 juta).

Scroll to Top