Beli diesel di tengah laut, jual di pasaran gelap

Beli diesel di tengah laut, jual di pasaran gelap

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menahan kapal tunda dengan muatan 20,000 liter diesel bernilai keseluruhan RM312,000, semalam.

Seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun turut ditahan dalam serbuan menerusi Ops Tiris di jeti nelayan berhampiran Pulau Duyong di sini, kira-kira 10 malam.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan 10 anggota penguat kuasa KPDN Terengganu bersama lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas membuat risikan selama dua minggu mengenai aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, hasil maklumat awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda.

“Minyak berkenaan akan diisi di dalam tangki kapal tunda yang diubah suai dan kemudiannya akan dijual semula kepada pembeli pasaran gelap di sekitar kawasan perindustrian berdekatan.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan juga mendapati kapal berkenaan tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan minyak diesel di dalam kapal berkenaan.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 20,000 liter minyak diesel berada di dalam tangki tambahan kapal itu dengan rampasan dianggarkan bernilai RM312,000,” katanya dalam kenyataan di sini.

Saharuddin berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti haram.

“Individu, syarikat atau pengusaha-pengusaha stesen minyak diingatkan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 2 juta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top