London. Terbeli semula kereta sendiri yang hilang dicuri kira-kira dua bulan lalu.
Itu dialami seorang jurutera perisian berusia 36 tahun dari Solihull, West Midlands, yang mengalami kejadian mengejutkan apabila kereta kesayangannya yang dilarikan pencuri, berjaya ditemukan dengan cara tidak disangka-sangka.
BBC melaporkan, Ewan Valentine kehilangan Honda Civic hitam miliknya selepas ia dilarikan dari halaman rumahnya pada Februari lalu.
Laporan polis dibuat dan Valentine dimaklumkan peluang untuk mendapatkan semula kenderaannya adalah sangat tipis.
Selepas syarikat insurans meluluskan tuntutannya, Valentine menggunakan wang pampasan untuk membeli sebuah kereta pengganti.
Dia menemukan sebuah lagi Honda Civic hitam dan membelinya dengan harga 20,000 pound sterling (kira-kira RM116,474).
Bagaimanapun, selepas diteliti, Valentine mendapati kereta yang dibelinya itu sebenarnya adalah keretanya yang hilang sebelum ini.
Situasi luar biasa itu nyata mengejutkan Valentine.
Menceritakan kesedihan selepas keretanya dicuri, Valentine memberitahu BBC bahawa dia berasa amat kecewa kejadian curi itu dan bertekad mendapatkan semula kereta model sama.
“Ia kereta impian saya. Bukan mudah nak cari model begini, jadi saya sangat berazam untuk cari model sama sebagai pengganti.
“Saya jumpa satu kereta yang sama, memiliki warna yang sama, model tahun sama, malah sistem ekzosnya pun seperti kereta saya dulu,” katanya.
Namun, Valentine mula mengesyaki sesuatu apabila menemukan beberapa barang di dalam kereta berkenaan seperti sebatang pasak khemah, cebisan pokok Krismas dan pembalut coklat yang tidak dibersihkan.
“Semuanya sangat serupa dengan apa yang ada dalam kereta saya yang hilang dahulu,” katanya.
Walaupun kereta itu mempunyai nombor plat baharu dan catatan perbatuan lebih rendah, keraguannya disahkan apabila Valentine menemukan alamat rumahnya dan ibu bapanya dalam sejarah sistem navigasi terbina di dalam kenderaan itu.
“Saya hampir kemalangan kerana terlalu terkejut. Tangan saya menggeletar, jantung berdegup laju.
“Saya rasa seperti mendapat kemenangan sekejap, macam rasa hebat sebab dapat semula kereta. Tetapi lepas fikir balik, sebenarnya saya dah buat sesuatu yang agak bodoh,” katanya.
Dia kemudian membawa kenderaan itu ke garaj Honda di Solihull, sebelum membuat laporan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd