Belia kampung bantu warga emas pasca banjir

ALOR GAJAH – Simpati dengan ujian dihadapi mangsa banjir khususnya dalam kalangan warga emas, sekumpulan anak muda hari ini membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas di Kampung Belimbing Dalam.

Usaha murni itu membabitkan 15 belia berusia antara 22 hingga 27 tahun daripada Kumpulan Anak-Anak Muda Durian Tunggal yang aktif melakukan tugas sukarelawan itu sejak gelombang pertama banjir pada Disember lalu.

Wakilnya, Muhammad Asyraf Azman, 23, berkata, mereka turut mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat swasta, Benojaya Group Sdn Bhd, yang menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Hari ini, kita meneruskan kerja-kerja sukarelawan membabitkan 15 belia untuk membantu membersihkan rumah penduduk terutamanya warga emas di sekitar daerah Alor Gajah khususnya Kampung Belimbing Dalam.

“Kami harap usaha kecil ini dapat menggalakkan lebih ramai belia terlibat untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan kerana tugas itu bukanlah terletak di bahu kerajaan semata-mata,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Benojaya Group Sdn Bhd Datuk Muhammad Afiq Ikhwan dan Pengarahnya, Ong Chong Beng.

Sementara itu Muhammad Afiq berkata, pihaknya gembira melihat semangat ditonjolkan belia kampung itu walaupun ada dalam kalangan mereka turut terjejas seperti kehilangan pekerjaan akibat Covid-19 selain turut menjadi mangsa banjir.

“Selain gotong royong membersihkan rumah penduduk, mangsa banjir juga diberikan bantuan perkakas elektrik dan kit makanan yang sudah diagihkan kepada lebih 20 buah rumah mangsa banjir.

“Keseluruhannya kami memperuntukkan kira-kira RM20,000 untuk membantu mangsa banjir di kawasan ini,” katanya.- MalaysiaGazette