Belia perlu aktif di surau, masjid sepanjang bulan Ramadan

Belia perlu aktif di surau, masjid sepanjang bulan Ramadan

INISIATIF Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan merupakan satu kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam memperkukuh agenda pembangunan belia yang holistik dan berteraskan nilai Malaysia Madani.

Pendekatan ini menyahut hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan masjid sebagai pusat transformasi belia yang lebih dinamik melalui penubuhan Jawatankuasa Belia di peringkat masjid dan surau.

Jawatankuasa Bersama KBS-Jakim menyelaras aktiviti dan program yang bersesuaian bagi memakmurkan masjid, di samping melahirkan insan yang seimbang daripada aspek sahsiah, rohani, intelektual dan sosial.

Objektif utama Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan:
• Kepimpinan pelapis – Melahirkan generasi muda yang mencintai masjid serta menjadi pelapis kepimpinan dan pengimarahan masjid pada masa hadapan.
• Aset negara berimpak – Membentuk pimpinan muda berpotensi yang mampu memberi impak positif dan mempengaruhi masyarakat secara konstruktif.
• Kesejahteraan holistik: Mewujudkan komuniti belia yang sejahtera, adaptif, serta sihat daripada segi fizikal (BMI seimbang) dan mental dalam mendepani perkembangan teknologi.
• Pencegahan gejala sosial: Membina kepimpinan belia melalui penyediaan aktiviti berfaedah, pengukuhan ilmu Fardu Ain serta platform pembangunan diri yang komprehensif.

Program Rakan Muda Ramadan akan dilaksanakan di 15 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan 113 buah daerah di seluruh negara. Fokus utama adalah aktiviti keagamaan dan kesukarelawanan.

Keunikan sambutan Rakan Muda Ramadan kali ini ialah kepelbagaian kaum daripada pelbagai latar belakang dan berbuka puasa. Ini penting supaya pembangunan rohani dan jati diri dalam pembangunan belia negara dapat dilaksanakan secara inklusif dan holistik oleh belia pelbagai agama dan latar belakang.

Pembangunan belia tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan penggemblengan kekuatan kementerian, agensi, institusi masjid, pertubuhan belia dan komuniti setempat.

Dengan program yang turut menyentuh elemen kerohanian, negara dapat membina generasi yang progresif dengan perwatakan mulia berlandaskan nilai-nilai murni. – UTUSAN

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Belia Dan Sukan

Scroll to Top