Bella Astillah Mahu Terus Positif – “Saya Pilih Untuk Melangkah Ke Hadapan”

Bella Astillah Mahu Terus Positif – “Saya Pilih Untuk Melangkah Ke Hadapan”

Penyanyi dan pelakon Bella Astillah akhirnya bersuara berhubung detik hangat yang berlaku sewaktu dirinya menyampaikan trofi Selebriti Feminin Terhangat kepada aktres Sophia Albarakbah.

Selepas hampir seminggu selepas berlangsungnya Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025, Bella menyatakan pendiriannya untuk kekal positif dan tidak terus dibelenggu kontroversi yang timbul.

“Selepas hampir seminggu melakukan refleksi dan mendengar dari semua sisi, saya memilih untuk fokus kepada kebaikan malam itu dan melangkah ke hadapan,” tulis Bella.

Menerusi hantaran terbabit, Bella turut memuat naik foto dirinya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sewaktu hadir ke acara tersebut.

Selain diundang sebagai penyampai anugerah, Bella turut membawa pulang kemenangan apabila diumumkan sebagai penerima trofi Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Syed Saddiq hasil undian para peminat.

Dalam masa yang sama, pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu turut menzahirkan ucapan terima kasih buat keluarga, rakan-rakan, para peminat serta pihak pengurusannya, Universal Music Malaysia, atas sokongan yang tidak pernah putus sejak awal penglibatannya dalam dunia seni.

“Kasih sayang dan sokongan anda semua tetap menjadi hadiah paling bermakna buat Bella,” katanya lagi.

Mengulas tentang kemenangan di malam AMT 2025, Bella menyifatkannya sebagai kenangan manis yang cukup bererti dalam perjalanan seninya.

“Alhamdulillah, syukur. Terima kasih Anugerah Melodi atas penghargaan ini. Pelbagai rasa, namun saya tetap anggap ia satu pengalaman yang luar biasa dan akan dikenang,” katanya ringkas.

Sebelum ini, tindakan spontan Bella sewaktu mengumumkan nama Sophia sebagai pemenang mencuri perhatian warganet, hingga mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial. Malah, ada yang menganggap reaksi tersebut seolah-olah membawa maksud tersirat, lantas mengungkit kembali kisah lama antara kedua-dua selebriti itu.

Untuk rekod, pada tahun 2023, Sophia pernah menjadi bualan ramai selepas didakwa menjalin hubungan dengan bekas suami Bella, Aliff Aziz, ketika mereka sama-sama terlibat dalam penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Bagaimanapun, Sophia ketika ditemui sejurus selesai siaran langsung AMT 2025 mengambil pendekatan diplomatik dan enggan mengeruhkan keadaan.

Scroll to Top