PETALING JAYA: Penyanyi, Bella Astillah sekali lagi mencuri perhatian apabila memuat naik sekeping gambar seolah-olah memberi bayangan hubungan rapatnya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal beralih ke fasa lebih serius.
Menerusi perkongsian itu, Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, tampil anggun dalam busana tradisional, manakala Syed Saddiq dilihat merenungnya sambil berlatarbelakangkan lagu Malam Bulan Dipagar Bintang, mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
“Maka esok ini, hari raya atau tidak?” tulisnya ringkas pada kapsyen.
Bagaimanapun, Bella tidak mengulas lanjut mengenai maksud sebenar perkongsian tersebut. Namun, rata-rata peminat mula menghidu kemungkinan pasangan itu bakal mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat.
Rakan selebriti, Mira Filzah turut meninggalkan komen berbaur usikan yang menguatkan lagi spekulasi tersebut.
“Tanya tentang raya atau hari bahagia?” tulisnya.
Seorang lagi pelakon, Shaza Bae, turut meluahkan keterujaan dengan komen ringkas, “Tak sabarnya.”
Selain itu, terdapat juga komen netizen yang memuji keserasian pasangan berkenaan dengan tema klasik yang ditampilkan.
Terdahulu, timbul khabar angin mendakwa majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 28 Mac ini.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada Bella mahupun Syed Saddiq berhubung perkara tersebut. -UTUSAN



