Bella Astillah Tampil Dengan Lagu Putus Cinta, ‘Lebih Indah Berpisah’ Hasil Sentuhan Magis Bersama Ade Govinda!

Bella Astillah Tampil Dengan Lagu Putus Cinta, ‘Lebih Indah Berpisah’ Hasil Sentuhan Magis Bersama Ade Govinda!

Selepas kejayaan single terdahulu, penyanyi dan pelakon versatil Bella Astillah kembali menggegarkan dunia muzik dengan buah tangan terbarunya berjudul ‘Lebih Indah Berpisah’, sebuah kolaborasi emosional bersama komposer dan pemuzik tersohor dari Indonesia, Ade Govinda.

Lagu ciptaan dan terbitan penuh oleh Ade Govinda ini bukan sekadar alunan melodi, tetapi sebuah kisah jiwa tentang keberanian melepaskan cinta yang tak lagi dihargai, demi membuka lembaran hidup yang lebih bermakna dan membahagiakan.

Menurut Bella, ‘Lebih Indah Berpisah’ punya nilai sentimental tersendiri yang cukup dekat dengan hatinya.

“Asalnya kami ada tajuk lain, tapi selepas berbincang, saya dan Ade sepakat pilih ‘indah’ sebagai teras utama. Ia menggambarkan sisi positif dalam setiap perpisahan,” kongs Bella.

Tambahnya lagi, lirik lagu ini ditulis dengan penuh perasaan oleh Ade, menyampaikan kekuatan dalam perpisahan, dan keberanian untuk memilih bahagia walau harus melepaskan.

Bercerita tentang proses rakaman, Bella akui pengalaman bekerjasama dengan Ade dan pasukannya di Indonesia sebagai satu kenangan yang tak akan dilupakan.

“Mereka sangat menghormati bakat dan masa orang lain. Semasa sesi rakaman, suasananya sangat tenang dan positif. Tiada tekanan langsung. Dengan sokongan mereka, saya rasa begitu bersemangat untuk beri yang terbaik,” ujarnya.

Bella turut berharap lagu ini dapat menjadi ‘peneman hati’ buat mereka yang sedang melalui peritnya episod perpisahan.

“Saya mahu lagu ini jadi sumber kekuatan dan pengubat duka buat sesiapa yang sedang kecewa dalam cinta. Harapan saya, semoga ia bukan saja diterima baik di Malaysia, tapi juga di Indonesia.

“Yang paling penting, saya buat lagu ni bukan untuk bersaing dengan sesiapa… tapi untuk diri saya sendiri untuk jadi lebih baik,” jelasnya jujur.

Dari sisi komposer, Ade Govinda menyifatkan lagu ini sebagai naskhah yang menyentuh soal jiwa dan kekuatan wanita untuk melepaskan cinta yang tak lagi membawa erti.

“Lagu ni tentang seseorang yang sanggup lepaskan walau hati masih sayang… kerana dia tahu, perpisahan bukan satu kegagalan tapi satu bentuk keberanian untuk melangkah ke depan demi kebahagiaan.

“Kalau cinta anda tak dihargai, lagu ini mungkin mampu beri semangat untuk buat keputusan terbaik. Percayalah, hidup selepas berpisah boleh jadi lebih indah dari yang anda bayangkan,” katanya.

Ade juga tidak ketinggalan memuji sikap profesional Bella sepanjang proses penghasilan lagu dan penggambaran video muzik.

“Bella bukan saja serius dalam nyanyian, tapi juga sangat ‘all-out’ dalam lakonan muzik video. Tak ramai wanita yang mampu tonjolkan ketabahan dan komitmen seperti dia. Saya sangat kagum dengan Bella,” puji Ade.

Kini, lagu ‘Lebih Indah Berpisah’ boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya turut ditayangkan di YouTube.

Scroll to Top