Abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, atau lebih dikenali sebagai Space Dollah, menyeru adiknya, Syed Saddiq, agar segera menamatkan zaman bujang bersama pelakon Bella Astillah.
Menerusi sebuah video yang tular di TikTok, Space Dollah, 36, memaklumkan bahawa dia menyedari perubahan positif dalam diri adiknya selepas berkenalan dengan Bella.
Menurutnya, Saddiq kelihatan lebih bahagia dan ceria sejak menjalinkan hubungan dengan aktres itu.
“Saya jarang nampak dia gembira, tapi bila tengok dia bermesra dengan Bella sampai tahap begitu, sebagai abang, saya turut rasa gembira. Saya sangat menyokong.
“Soal pemasaran atau apa sekalipun, saya tak boleh nak komen sebab saya sendiri belum bertemu dengan Bella atau berbincang dengan Saddiq mengenainya.
“Tapi satu perkara yang saya pasti, saya sudah lama kenal adik saya. Jarang saya nampak dia bahagia seperti ini. Pada awalnya, saya tahu dia bekerjasama dalam urusan pakaian, tetapi dia bukan jenis orang yang akan meluangkan masanya untuk satu projek sebegini melainkan ia benar-benar bermakna baginya.
“Dan jika melihat kepada ‘lakonannya’, ia langsung tidak kelihatan seperti sesuatu yang dibuat-buat,” ulasnya.
Selain itu, Space Dollah juga secara terbuka menerima dan merestui hubungan Saddiq dengan Bella.
“Keluarga kami belum sempat berbincang tentang Bella, tetapi saya pasti Saddiq akan berkongsi lebih lanjut tidak lama lagi.
“Saya rasa Bella seorang yang baik. Bella, jangan dengar cakap orang, kalau awak dengan Saddiq okay, layan sahaja.
“Sebagai abang, apabila melihat adik saya bahagia, sudah tentu saya akan menyokong. Dan jika ditanya sama ada saya merestui hubungan ini atau tidak, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk kebahagiaan adik saya,” tambahnya.
Setakat artikel ini ditulis, video tersebut telahpun meraih lebih 1 juta tontonan sejak ia dimuat naik pada Khamis.