am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bella Astillah mencuri perhatian warganet apabila mendedahkan masih menyimpan foto pertemuan pertama dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, foto kenangan itu dirakam pada pertemuan spontan mereka yang disifatkan cukup bermakna buat dirinya.
“Paling menarik, gambar yang diambil ketika awal perkenalan kami masih saya simpan sehingga kini. Ketika itu, Syed Saddiq sekadar menegur dan bertanya khabar.
“Kebetulan saya sedang pegang telefon, jadi, saya ajak dia bergambar. Syed Saddiq pun bersetuju dan guna telefon sendiri untuk rakam gambar itu,” katanya menerusi satu episod program audio siar.
Lebih menarik, Syed Saddiq yang turut berada dalam sesi rakaman itu mengakui teruja dengan ajakan ibu kepada dua cahaya mata itu untuk bergambar.
“Saya tidak simpan gambar itu, tetapi saya masih ingat peristiwa itu. Saya gembira sebab Bella muat naik gambar tu dan ‘tagged’ nama saya di media sosial.
“Saya pun terus ‘repost’,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella beberapa kali menjadi tumpuan apabila muncul bersama dalam kempen jenama pakaian tempatan dan projek kolaborasi muzik video Tapi Bukan Denganmu. Berikutan itu, tercetus fenomena ‘BASS’ iaitu gabungan nama Bella dan Syed Saddiq dalam kalangan peminat.
Fenomena yang mempertemukan figura dunia seni dan politik itu bukan saja mendapat perhatian di Malaysia, malah, menarik minat peminat hiburan di Korea Selatan.
Lebih menguatkan spekulasi hubungan istimewa antara mereka, kelibat Bella dilihat menemani Syed Saddiq dalam beberapa sesi perbicaraan di mahkamah.
Sehingga hari ini, baik Syed Saddiq atau Bella, masing-masing belum mengesahkan status hubungan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd