Belum ada kes menteri sakau mana-mana kontrak – PM

Belum ada kes menteri sakau mana-mana kontrak – PM

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sehingga kini tiada menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya terlibat dalam amalan yang menyalahi tadbir urus dan tata kelola.

Katanya, ia tidak berlaku sepanjang tujuh bulan yang lalu.

“Dalam tujuh bulan ini, belum ada kes menteri yang amalkan gelojoh nafsu serakah yang lama untuk menyakau mana-mana kontrak (kerajaan) kerana kita tegas jaga tata kelola ini, elak dari rasuah dan ketirisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 warga peneroka Felda sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Hari Peneroka FELDA di MAEPS Serdang. Foto MOHD ADZLAN 07 JULAI 2023.

“Kita hadapi masalah ekonomi yang berat, hutang begitu banyak, masalah tak selesai tapi saya yakin sekiranya kita di landasan betul, elak ketirisan, elak tamak haloba, elak nafsu serakah, (elak) ambil kekayaan bukan hak kita, saya yakin Malaysia akan bangkit sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini,” katanya.

Anwar berkata, walaupun Kerajaan Perpaduan dianggotai pelbagai parti seperti PKR, DAP, UMNO, Amanah dan Gabungan Parti Sarawak namun tiada unsur-unsur sabotaj berlaku seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya dalam PH (Pakatan Harapan), Zahid Hamidi (daripada) UMNO tapi kita ambil keputusan demi Felda, demi kehidupan orang Melayu dan rakyat Malaysia kita ambil bersama angkat martabat negara ini untuk hebat semula.

“Bila saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk tolong Felda, disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, disokong Zahid, disokong Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. Inilah perpaduan yang membawa kebaikan untuk rakyat,” ujarnya.

Anwar pada majlis itu menyatakan komitmen kerajaan untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Beliau turut mengingatkan pengurusan Felda supaya lebih cekap mengurus, tidak mengizinkan sebarang ketirisan, tidak boros dan tidak mengizinkan pelaburan yang merugikan.

“Jika tidak diurus dengan baik, izinkan pemborosan, amalan melabur ikut suka hati… inilah jadinya sehingga kerajaan terpaksa tanggung hutang sehingga RM8.3 bilion,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top