Belum bincang untuk benarkan individu terima dua dos vaksin rentas negeri – Ismail Sabri

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membincangkan secara menyeluruh untuk membenarkan mana-mana individu yang telah lengkap dos suntikan vaksin Covid-19 merentas negeri atau ke luar negara.

Sebaliknya, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dibawa dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Belum lagi, kita tak bincang secara menyeluruh tentang insentif kepada yang dapat vaksin dua kali ini

“Mungkin pandangan PM (Perdana Menteri) semalam, kalau boleh dilaksanakan iaitu perjalanan dalam negeri perjalanan luar negeri saya rasa ramai lagi orang yang mendaftar vaksin.

“Sekarang ini ramai yang tunggu dan lihat. Jadi, kalau insentif seperti ini, saya ingat ramai yang akan mendaftar…tapi, saya rasa kita akan bincang perkara ini secara terperinci dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4X4 (HMAV 4X4) Pertama Malaysia di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Semalam Muhyiddin berkata, individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mungkin dibenar untuk merentas negeri malah mereka juga mungkin boleh ke luar negara.

Perdana Menteri berkata, keputusan mengenai perkara itu akan dibuat pada mesyuarat MKN.

Selain itu, katanya, kerajaan juga memulakan rundingan dan perbincangan dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat Malaysia yang telah divaksin untuk ke negara berkenaan.

Menjawab soalan media, Ismail Sabri berkata, beliau mengetahui kenyataan perdana menteri berhubung perkara itu melalui laporan media massa.

Katanya, sama ada perkara itu sudah dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau sebaliknya, Menteri Kanan itu berkata, beliau tidak tahu mengenainya.

“Sebab saya pun tahu semalam daripada berita, sama ada sudah bincang dengan KKM saya pun tak tahu.

”Jadi saya tak boleh komen perkara yang saya dengar daripada berita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Individu terima dua dos vaksin mungkin dibenar rentas negeri, ke luar negara – PM