'Belum buka pun dah menangis, rindu ayah terlalu kuat'

'Belum buka pun dah menangis, rindu ayah terlalu kuat'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Kerinduan seorang wanita terhadap Allahyarham bapa yang meninggal dunia lebih sedekad lalu akhirnya terubat apabila menerima foto kenangan bapanya melalui inisiatif percetakan gambar lama oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lebih menyentuh hati, reaksi spontan Nur Fariha Mohd Amin, 38, ketika melihat gambar berkenaan dalam video yang tular di media sosial mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang turut berkongsi rasa rindu terhadap ibu bapa masing-masing.

“Saya sebenarnya hanya merakam video itu untuk kenangan keluarga dan berkongsi maklumat mengenai program berkenaan.

“Saya sangat terharu apabila ramai yang turut tersentuh dan berkongsi kisah mereka sendiri tentang kasih sayang terhadap ibu bapa,” katanya kepada Harian Metro.

Nur Fariha berkata, pada awalnya dia hanya mahu menyimpan kenangan keluarga apabila memohon cetakan foto itu dan tidak menyangka rakaman emosinya menjadi perhatian warganet.

Nur Fariha berkata, bapanya, Mohd Amin Abd Aziz yang berasal dari Terengganu meninggal dunia pada September 2014, namun kenangan bersamanya masih segar dalam ingatan.

“Saya anak keempat daripada lima beradik dan anak perempuan pertama dalam keluarga. Hubungan saya dengan ayah sangat rapat sehingga hampir tiada rahsia antara kami.

“Ayah seorang yang sangat sabar, tenang dan mudah dibawa berbincang. Dalam setiap perkara besar dalam hidup saya, ayah sentiasa ada,” katanya.

Nur Fariha berkata, dia mengetahui mengenai program cetakan foto lama itu selepas melihat beberapa video di media sosial sebelum ternampak hebahan permohonan melalui satu temu bual pegawai JPN di radio.

“Permohonan dibuka pada 1 Oktober 2025 jam 10 pagi dan saya terus membuat permohonan pada hari yang sama.

“Saya menerima emel bahawa permohonan sudah siap pada 29 Disember 2025, cuma saya lewat mengambilnya kerana kekangan kerja,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah cuba bersedia secara mental, dia tetap tidak mampu menahan perasaan apabila melihat gambar Allahyarham.

“Belum buka sepenuhnya pun saya sudah menangis. Bila nampak kelibat gambar ayah, rasa rindu yang terpendam terlalu kuat.

“Sehingga sekarang saya masih belum mampu melihat gambar itu lama-lama kerana kenangan terhadap ayah masih sangat segar,” katanya.

Menurut Fariha, gambar itu sangat bermakna kerana bapanya sangat meminati bidang fotografi dan sering merakam detik-detik keluarga sejak mereka kecil.

“Ayah memang suka mengambil gambar kami adik-beradik sejak bayi hingga dewasa. Kamera sentiasa ada bersamanya.

“Saya pula tidak mempunyai rakaman video bersama ayah, jadi gambar ini sangat berharga untuk disimpan sebagai kenangan keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top