'Belum fikir rombakan sebab mereka tengah bercuti' – Anwar

'Belum fikir rombakan sebab mereka tengah bercuti' – Anwar

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memikirkan untuk merombak Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perdana Menteri menegaskan, penggantian anggota Jemaah Menteri baharu tidak boleh dilakukan kerana Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa itu secara asasnya sedang bercuti.

“Belum (fikir buat rombakan), mereka (Rafizi dan Nik Nazmi) masih bercuti, kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Semalam, Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi sebelum Nik Nazmi membuat pengumuman sama berhubung jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Dengan pengumuman itu, Rafizi memaklumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 17 Jun, manakala Nik Nazmi pada 4 Julai ini.

Susulan pengumuman itu, Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan Anwar meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan.

Kedua-dua menteri itu sebelum ini tewas pada Pemilihan PKR 2025.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi tewas pada pemilihan sebagai Naib Presiden.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top