Belum habis trauma, Uqasha Senrose kecewa difitnah rakan sekolah

Belum habis trauma, Uqasha Senrose kecewa difitnah rakan sekolah

Pelakon Uqasha Senrose meluahkan kekecewaan berhubung dakwaan dia membuli seorang wanita yang juga rakannya ketika zaman persekolahan kira-kira 15 tahun lalu.

Menerusi satu ciapan di laman Twitter, pelakon berusia 31 tahun itu menyifatkan dakwaan itu adalah fitnah di saat masih trauma mengenai insiden serangan yang berlaku terhadap suaminya, Kamal Adli baru-baru ini.

“Allahukhabar selepas semua yang terjadi kepada saya dan suami, muncul pula fitnah menuduh saya sebagai pembuli.
“Dengan satu gambar, saya dicop sebagai pembuli. Siapa yang buli mental siapa ini? Dalam foto tersebut siapa yang ceria?” tulis Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen.

Uqasha berkata, dakwaan tersebut membuatkan perasaannya bercampur baur namun masih cuba bersikap positif dengan memberi fokus terhadap keadaan suaminya selepas dipukul berkali-kali menggunakan cota oleh seorang lelaki tidak dikenali di Singapura.

“Dengan keadaan macam ni baiklah saya terhadap suami saya dan diri sendiri. Saya masih dalam keadaan terkejut dan trauma dan difitnah sebagai pembuli. Allahuakhbar,” katanya.

Pada masa sama, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu akan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis bagi melakukan siasatan lanjut.

“@ImZawani kepada awak yang menabur fitnah, kita akan bertemu nanti. Jangan risau, polis akan siasat segalanya pasal awak. Allah itu Maha Besar.
“Awak boleh menyekat (akaun) saya selepas ini tetapi semua perbualan dan maklumat kami dah dapat. Dunia ni kecil,” tulisnya lagi.

Terdahulu, pengguna Twitter @ImZawani mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa buli Uqasha sehingga mengalami kemurungan dan terpaksa berpindah ke sekolah baharu bagi memberi fokus terhadap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sumber: Twitter @Uqashasen & @ImZawani