Belum hilang trauma hilang anak, seorang lagi 'pergi' menjelang Aidilfitri

Belum hilang trauma hilang anak, seorang lagi 'pergi' menjelang Aidilfitri

am@hmetro.com.my

Setiu : “Arwah Aminuddin ada beritahu tidak mahu beli pakaian raya kerana ingin memakai kurta putih yang digunakan untuk menghadiri majlis di kem,” kata Naimah Zakaria, 54.

Naimah ibu kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhammad Aminuddin Amran, 21, dari Pulai Chondong, Kelantan antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 70 Bandar Permaisuri di sini, hari ini.

Katanya, arwah juga tidak memaklumkan tarikh dia balik kampung, namun naluri keibuannya dapat merasai ‘kepulangan’ anak kelima daripada enam beradik itu.

“Pemergian arwah menjelang Aidilfitri ini sebenarnya mengulangi semula peristiwa tragis yang berlaku kepada anak kedua saya yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2024.

“Sehingga kini saya masih trauma setiap kali mahu menyambut Hari Raya kerana teringat peristiwa lalu.

” Tak sangka sejarah kembali berulang apabila arwah Aminuddin pula mengikut jejak langkah abangnya itu,” katanya.

Katanya, sebelum ini, arwah sering mengatakan dirinya sama seperti Allahyarham abangnya tetapi tidak menyangka cara mereka berdua ‘pergi’ juga sama terbabit dalam kemalangan.

“Jika diikutkan tahun ini saya juga seperti tidak bersemangat untuk membuat persiapan raya dan tidak menyangka ia menjadi petanda bakal kehilangan seorang lagi anak.

“Perasaan trauma kehilangan anak ketika hampir menyambut Aidilfitri dahulu belum hilang kini saya terpaksa melalui semula detik sukar ini sekali lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top